Dua Proton Wira dipandu warga Thai cuba seludup petrol - Utusan Malaysia

Dua Proton Wira dipandu warga Thai cuba seludup petrol

DUA buah Proton Wira diubah suai memiliki tangki tambahan ditahan PGA dalam sekatan jalan raya di Jalan Durian Burung berhampiran Kompleks ICQS Kota Putra di Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Dua buah kenderaan jenis Proton Wira dipandu dua individu warga Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran sempadan di Durian Burung, di sini kerana disyaki memiliki minyak petrol yang cuba diseludup ke negara jiran, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, suspek merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 39 tahun yang membawa 260 liter bahan api itu menggunakan kenderaan tersebut.

“Kedua-dua suspek ditahan dalam sekatan jalan raya oleh PGA di Jalan Durian Burung menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua buah Proton Wira bernombor pendaftaran tempatan itu memiliki tangki ubah suai yang mengandungi bahan api disyaki petrol dianggarkan berjumlah 130 liter bagi setiap kenderaan dengan nilai RM533,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan dibaca bersama Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Katanya, suspek berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan dan maksimum RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kes ini juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×