Lebih 1,635 tan metrik minyak masak disita - Utusan Malaysia

Lebih 1,635 tan metrik minyak masak disita

SEBAHAGIAN daripada minyak masak pelbagai jenis yang disita oleh KPDN Johor susulan pemeriksaan ke atas syarikat pembungkusan di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini menyita lebih 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak dengan nilai mencecah RM8.47 juta di sebuah syarikat pembungkusan di Kulai, Rabu lalu.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu dibuat selepas syarikat itu disyaki menyeleweng dan memanipulasi barang kawalan  hasil pengauditan dokumen serta stok minyak masak di premis berkenaan.

Pihaknya membuat pemeriksaan di sebuah syarikat membungkus minyak masak itu pada pukul 8.15 malam bagi mendapatkan maklumat serta mengemukakan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. 

“Perkara itu terbongkar susulan pengauditan dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu pejabat KPDN Putrajaya ke atas dokumentasi urus niaga penjualan minyak masak syarikat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti minyak masak yang berada di alamat perniagaan berkenaan melebihi had kuantiti simpanan minyak masak yang diluluskan di bawah Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Lilis Saslinda berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974. 

Jika disabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya sambil mengalu-alukan orang ramai menyalurkan aduan menerusi pelbagai medium yang disediakan. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×