SETIU: Wakil State Terengganu Endurance Team (STET), Mohd. Faris Haikal Hassan Sa’ari muncul juara kategori utama CEI 120 kilometer (km) dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu
di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, di sini, hari ini.
Pelumba tuan rumah itu tiba paling awal di garisan penamat dengan catatan masa 6 jam 5 minit 5 saat (s) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM9,075 dan piala iringan.
Lebih membanggakan pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu apabila kuda tunggangannya turut dinobatkan selaku Kuda Terbaik untuk menerima hadiah tambahan RM5,000.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Royal Kelantan Endurance, Mohd. Nor Syafriman Zazlan (6:50:29s) manakala wakil Khalifah Arabian Endurance Team, Nadiah Mohamad di tempat ketiga dengan masa 7:36:59s.
Mohd. Faris Haikal berkata, kemenangan itu diraihnya selepas berjaya melepasi cabaran cuaca tidak menentu sehingga menyukarkan kuda tunggangannya untuk menamatkan perlumbaan.
“Ini adalah pencapaian terbaik saya setelah memenangi pingat perak dalam acara berpasukan pada Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia di Belanda, tiga tahun lalu,” katanya.
Sementara itu STET turut mengungguli acara CEI 100km melalui Haziz Farhan Ahmad Faris (5:41:12s) diikuti Shahanudeen Jalil Kamarul (5:43:19s) dan pelumba Belarus, Viktoriyia Melnikava (8:22:11s).
Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini. – UTUSAN










