Bapa saudara, tiga beradik antara lapan Geng Potek sedang ‘lalok’ diberkas - Utusan Malaysia

Bapa saudara, tiga beradik antara lapan Geng Potek sedang ‘lalok’ diberkas

HUSSIN Zamora menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas daripada Geng Potek yang ditahan di sebuah rumah usang dekat Sungai Papan, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tiga beradik dan bapa saudara mereka antara lapan orang yang sedang khayal ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah usang dekat Sungai Papan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, semua Geng Potek termasuk seorang wanita 22 tahun itu ditahan dalam serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi pada pukul 3.40 pagi, Rabu lalu.

“Tangkapan termasuk ketua geng ini merupakan bapa saudara kepada tiga beradik berkenaan yang berusia 40 tahun dan teman wanitanya berusia 22 tahun, manakala tiga beradik itu berusia 19, 23 dan 25 tahun. 

“Kita turut merampas beberapa jenis dadah dengan berat hampir satu kilogram yang boleh digunakan 6,000 penagih.

“Dadah itu disyaki ketulan heroin dianggarkan 415.25 gram, ketulan kristal methamphetamine anggaran 123.46 gram, pil eramin 5 anggaran 8.27 gram, pil ekstasi anggaran 225.49 gram, ketamine anggaran 1.12 gram dan ganja anggaran 5.47 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini hari ini.

Kumpulan yang dipercayai aktif sejak Mei lalu itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan rumah di muara sungai berkenaan sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Rumah papan itu didirikan ahli sindiket untuk membungkus dadah dan menghisap dadah. Maklumat awam dan risikan dilakukan dua bulan lalu.

“Mereka  bungkus menggunakan plastik serupa makanan ringan untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal selain merampas wang tunai berjumlah RM5,023.

Katanya, nilai dadah dan sitaan kenderaan berjumlah RM84,573 serta semua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 30 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hussin memaklumkan, sejak 1 Januari hingga 27 Julai lalu, pihaknya telah menangkap seramai 982 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas sebanyak 17.324 kilogram bahan terlarang itu yang bernilai RM591,150. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×