LANGKAWI: Remaja yang dikhuatiri hilang selepas menyambut hari lahir adik perempuannya ditemukan lemas di Pantai Chenang, di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abd. Ghani berkata, mayat remaja lelaki itu ditemukan pada pukul 10.08 pagi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini pada pukul 8.40 pagi tadi dengan membuat pemantauan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, remaja itu, Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, hilang dihanyutkan ombak semasa mandi-manda di Pantai Chenang, petang semalam.
Dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa berkunjung ke pantai berkenaan bersama keluarga dan lima rakannya untuk menyambut hari lahir adiknya.
Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan adiknya yang terlebih dahulu nyaris lemas sebelum dia sendiri hilang dalam kejadian itu.
Adik perempuannya serta dua rakan mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini untuk rawatan lanjut. -UTUSAN










