LANGKAWI: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan ombak semasa mandi-manda di Pantai Chenang, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa, Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, turun ke pantai bersama keluarga dan lima rakannya untuk menyambut hari lahir adiknya.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kakak dan abang ipar mangsa menyatakan mereka menyedari remaja itu lemas apabila melihat dua individu terapung di tepi laut dan orang ramai cuba menyelamatkan mereka.
“Saksi menyatakan mangsa cuba menyelamatkan adik perempuannya dan dalam usaha menyelamatkan adiknya itu mangsa dipercayai lemas dan tidak dijumpai sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shariman berkata, mangsa dipercayai mandi laut bersama dua rakan dan adik perempuannya.
“Adik perempuannya dan dua lagi rakan mangsa berjaya diselamatkan dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini bagi mendapatkan rawatan dan usaha mencari mangsa masih dijalankan,” katanya. -UTUSAN










