KYIV: Russia menggunakan dron baharu yang dibuat dengan harga murah dalam serangan jarak jauhnya terhadap Ukraine, sebagai cubaan mengenal pasti pertahanan udara, merakam sebarang kerosakan dan bertindak sebagai umpan.
Pegawai perisikan tentera Ukraine, Andriy Cherniak berkata, dua jenis dron baharu itu dihasilkan dengan bahan seperti plastik busa dan papan lapis.
Ia digunakan Russia dalam lima serangan dron yang dilancarkan dua hingga tiga minggu lepas, termasuk serangan terbaharu pada Khamis lalu.
Satu jenis dron membawa kamera dan kad SIM telefon mudah alih Ukraine untuk menghantar imej kembali kepada tentera Russia.
“Mereka mengenal pasti kedudukan kumpulan mudah alih kami, dan cuba mendapatkan gambaran di mana semua pertahanan udara kami berada,” katanya.
Bagaimanapun, Cherniak tidak melaporkan butiran mengenai bukti lanjut Russia berusaha menyesuaikan taktiknya dan mencuba teknologi baharu untuk mendapatkan kelebihan dalam serangan peluru berpandu dan dron harian terhadap bandar serta infrastruktur Ukraine.
Dron serangan Shahed rekaan Iran, yang terbang ke sasarannya dan meletup apabila terkena impak, menjadi komponen penting serangan udara Russia sejak mula digunakan pada tahun pertama pencerobohan berskala penuh Moscow.
Cherniak berkata, dron baharu yang dilengkapi kamera itu tidak membawa bahan letupan, tetapi hampir menyerupai dron Shahed dan terbang bersama kumpulan dron tersebut.
“Jenis dron kedua pula tidak mengandungi bahan letupan atau hanya mengandungi sedikit bahan letupan dan digunakan sebagai umpan.
“Disebabkan ia tidak jauh beza dengan dron serangan biasa dari darat, ia masih perlu ditembak jatuh, ekoran boleh mendedahkan di mana sistem pertahanan Ukraine berada,” katanya.
Sejak peningkatan serangan udara Russia pada Mac, Ukraine berusaha keras untuk menyembunyikan lokasi sistem pertahanan udaranya.- REUTERS











