Makkal Sakti sedia ganti MIC - Utusan Malaysia

Makkal Sakti sedia ganti MIC

Presiden Makkal Sakhti, Datuk Seri R.S.Thanenthiran (kanan) meraikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil DUN Rantau pada 2019 bersama Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan (dua dari kanan) di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional di Kampung Tanjung, Rantau,Negeri Sembilan, - UTUSAN/ABD RAZAK AID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) akan terus menjadi suara masyarakat India dalam Barisan Nasional (BN) untuk memastikan hak dan keperluan mereka diperjuangkan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Kenyataan Presidennya, Datuk Seri R.S.Thanenthiran itu sekali gus memberi bayangan bahawa MMSP ‘sudah bersedia’ mewakili mayarakat India sepenuhnya menggantikan MIC.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut beliau, pihaknya tidak mahu ego dalam membuat sesuatu ketetapan dan secara ikhlasnya MMSP bukan pengganti MIC di BN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak mahu jadi ego (ganti MIC), kalau itu keputusan MIC untuk sokong PN (Perikatan Nasional), kita tidak dapat halang mereka kalau itu tujuan mereka.

“Parti Makkal Sakti terus menyatakan sokongan padu kepada BN dan sesekali tidak akan berganjak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, MIC mengumumkan terus menyokong dan kekal bersama-sama pentadbiran kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi BN.

Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran berkata, MIC menghormati keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan MIC mengambil ketetapan akan terus menyokong bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada PRU-14, MIC di bawah kepimpinan BN hanya menang dua kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang ditandingi iaitu kemenangan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Tapah dan Datuk C.Sivarraajh di Cameron Highlands.

Bagaimanapun MIC terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan calon MIC pada PRU-14 terbatal dan tidak sah.

Menurut Thanenthiran, parti itu akan mengikut segala tindakan yang diambil oleh UMNO dan BN bagi menghadapi pilihan raya nanti.

Katanya, pihaknya yakin dengan sokongan ahli parti yang melebihi 113,000 ahli parti di seluruh Malaysia, ia akan dapat membantu calon BN.

“Kami sudah lama bersiap siaga dalam persiapan pilihan raya nanti. Pada PRU- 15 nanti saya percaya orang India akan sedar kesilapan yang dibuat pada pilihan raya lepas,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak mahu memberikan sebarang komen berkenaan ketetapan partinya, sebaliknya meminta supaya melihat kembali teks ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung MCA pada 7 Mac lalu.

Katanya, MCA terus berdiri bersama BN dalam PRU-15 bagi memastikan BN meneruskan jalan inklusif.

“Kepelbagaian budaya, kesederhanaan dan inklusif yang diterapkan dan dipraktikkan oleh BN sesuai dengan pendekatan MCA,” katanya dalam ucapan dasar pada perhimpunan itu Mac lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini