HULU SELANGOR: Keluarga Nur Farah Kartini Abdullah berpuas hati dengan siasatan polis yang menyaksikan suspek kes pembunuhan gadis itu dihadapkan ke muka pengadilan semalam.
Anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu bagi pertuduhan membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Sepupu mangsa, Suzur Sofia Smeth Jaya berkata, dia hadir mewakili keluarga mereka menyaksikan prosiding tersebut.
“Kami amat berpuas hati dan positif dengan prosiding yang berlangsung. Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kes ini.
“Abang Nur Farah Kartini akan hadir pada sebutan semula kes ini pada 30 Ogos nanti. Kami mahu kematian saudara kami terbela,” katanya kepada pemberita, semalam.
Pada prosiding yang bermula pada pukul 10.18 pagi semalam, Muhammad Alif, 26, didakwa membunuh Nur Farah di antara 9 pagi, 10 Julai dan 6 petang, 15 Julai lalu di ladang SKC Keledang, Hulu Bernam di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret pada prosiding semalam kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam-peguam bela, peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md. Zainuddin.
Ku Hayati memohon diberikan tempoh dua bulan bagi membolehkan pendakwaan mendapatkan laporan telekomunikasi dan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Mahkamah bagaimanapun memberikan masa sebulan kepada pendakwaan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Ogos ini.
Pada prosiding semalam, bapa, abang dan adik kepada Muhammad Alif juga dilihat hadir sejak pukul 8 pagi.
Pasukan polis yang bertugas turut memberi peringatan kepada keluarga mangsa dan tertuduh supaya mengawal emosi bagi melancarkan prosiding.
Nur Farah Kartini, 25, hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Pada 15 Julai lalu, polis menemukan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat terhadap suspek.
Polis Perak mengesahkan tertuduh adalah anggotanya yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim.










