RAKHINE: Kekejaman yang menimpa rakyat Palestin di Gaza sebenarnya sudah mengalihkan tumpuan dunia daripada penindasan sama yang turut dialami etnik minoriti Islam Rohingya di Myanmar.
Krisis kemanusiaan Rohingya makin tenggelam daripada perhatian media, meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan etnik berkenaan sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia.
Pada Ogos 2017, tentera Myanmar melancarkan operasi besar-besaran terhadap masyarakat Rohingya selepas serangan di pos keselamatan Myanmar.
Operasi ini mengakibatkan kekejaman yang meluas, termasuk pembunuhan, kaum wanita dirogol serta rumah dan kampung dibakar.
Ia menyebabkan lebih 740,000 etnik Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh, dan sejak itu, kira-kira sejuta pelarian etnik berkenaan tinggal di kem sekitar Cox’s Bazar.
TIADA PELUANG PULANG
Sehingga kini, ratusan ribu Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian Bangladesh belum berpeluang untuk pulang ke tanah air mereka.
Presiden Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom (UK), Tun Khin berkata, perhatian global yang semakin pudar terhadap krisis kemanusiaan ini dibimbangi menyebabkan pelarian Rohingya tidak akan pernah kembali ke Myanmar.
Bercakap dalam sebuah acara dianjurkan Refugees International menjelang ulang tahun ketujuh kekejaman tentera Myanmar terhadap Rohingya, beliau berkata, Rohingya yang masih berada di kem pelarian dalaman (IDP) di Myanmar menjadi sasaran tentera, bahkan dibunuh pasukan anti-junta dalam perang saudara.
“Pada 2017, komuniti antarabangsa sangat menyedari keadaan ini kerana ramai Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
“Pihak media berada di lokasi itu serta maklumat berjaya disalurkan,” katanya.
Khin berkata, berita mengenai kekejaman ini menyebabkan sumber bantuan mengalir dengan cepat kepada pelarian.
Namun, kini hanya terdapat ‘sekatan total’ kerana perang saudara, walaupun Rohingya dipaksa menjadi tentera oleh junta Myanmar untuk melawan pasukan pemberontak yang menentang rampasan kuasa pada Februari 2021.
Beliau percaya usaha kerahan tenaga itu sebahagiannya untuk mencetuskan lagi ketegangan etnik di negeri Rakhine dan memberi tekanan kepada keluarga Rohingya yang terpisah.
KEMPEN ANTARABANGSA
Terdapat beberapa usaha untuk mendesak Myanmar bertanggungjawab dan memaksa junta membenarkan Rohingya pulang ke rumah mereka dengan selamat
Pada 2022, Gambia membawa kes pembunuhan beramai-ramai terhadap kerajaan Myanmar ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan UK, Kanada, Belanda, Perancis, Jerman, Denmark dan Maldives terlibat sebagai peserta luar.
Mahkamah Persekutuan di Argentina, tahun lalu juga mula mendengar keterangan terhadap tentera Myanmar, menerusi perbicaraan jenayah di bawah prinsip undang-undang ‘bidang kuasa sejagat’.
Bagaimanapun, kedua-dua kes itu mempunyai hadnya, kata peguam yang mewakili Gambia dalam kes terhadap Myanmar di ICJ, Arsalan Suleman.
“Proses jenayah (Argentina) bertujuan untuk memenjarakan individu dan memastikan tanggungjawab jenayah. Ia secara tidak langsung akan mengeluarkan sebahagian Rohingya dari kem dan membawa mereka pulang ke rumah.
“Begitu juga dengan kes ICJ, Gambia meminta mahkamah untuk memerintahkan Myanmar menghantar pulang pelarian dan membenarkan mereka pulang ke rumah mereka, tetapi kami tidak pasti apa yang akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Dengan kes yang masih dalam proses di mahkamah, katanya, usaha ini mungkin tidak mencukupi bagi memperjuangkan nasib Rohingya.











