‘Kerusi pinjam’ UMNO lukakan MIC - Utusan Malaysia

‘Kerusi pinjam’ UMNO lukakan MIC

SA Vigneswaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIFAHAMKAN, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengutus surat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kira-kira pukul 3 petang kelmarin memaklumkan tidak dapat hadir ke mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu yang dijadual sebelah malam hari sama.
Vigneswaran dipercayai menyatakan elok satu Cooling off period atau tempoh bertenang dahulu memandangkan perhimpunan agung MIC Sabtu lalu baru sahaja selesai yang mengandungi banyak kenyataan tidak memihak UMNO. Antaranya MIC mengumumkan akan terus menyokong dan kekal bersama-sama pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Zahid juga tidak dijemput ke perhimpunan itu. MIC turut berasa tertipu kerana baru tahu bahawa peruntukan jawatan menteri kepada­nya tidak dicadangkan langsung oleh BN. Sebaliknya MIC diperuntukkan jawatan menteri atas inisiatif PN. BN juga tidak mencalonkan pemimpin MIC untuk jawatan timbalan menteri atau senator.
Jadi, itu alasan Vigneswaran tidak hadir ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang kemudian dipersetujui sama oleh MCA.
Bagaimanapun Utusan Malaysia dimaklumkan, bukan setakat ungkapan pedas Vigneswaran Sabtu lalu sahaja, malah MIC sebenarnya terluka dengan tindak tanduk UMNO, tonggak BN, yang kebelakangan ini mengetepikannya. Antaranya, tindakan UMNO yang mahu mengadakan pertemuan dengan Friends of BN, esok. Iaitu parti-parti berteraskan masyarakat India seperti Makkal Sakti, IPF dan Malaysian Indian Justice Party (MIJP).
“Sejak zaman Tun Samy Vellu presiden MIC lagi sudah membuat ketetapan yang dipersetujui oleh BN bahawa hanya satu parti mewakili masyarakat India dari komponen BN. Parti-parti ini semuanya serpihan MIC, jika mahu menjadi gabungan BN, mereka harus masuk MIC, bukannya bergerak berasingan,” kata seorang ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC kepada akhbar ini semalam.
Dan lebih menyebabkan MIC mahu ‘berpatah arang berkerat rotan’ dengan UMNO adalah apabila UMNO kelihatan enggan memulangkan kembali beberapa kerusi yang dipinjamkan kepada parti itu sebelum ini. Antaranya, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Behrang, Pasir Panjang dan Hutan Melintang yang telah diberi laluan kepada calon UMNO pada pilihan raya umum ke-13 dan 14.
“Kami juga kehilangan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang apabila ditanya kepada UMNO kenapa tidak pulangkan balik, alasan yang diberikan ‘kita sudah bagi kepada Orang Asli, kalau ambil balik apa kata mereka’.
“Eh!, Sungai Siput, Tapah dan banyak lagi kerusi DUN dan Parlimen turut didiami masyarakat Orang Asli. Kenapa gunakan alasan ini,” kata anggota CWC itu.
Lebih mengecewakan lagi MIC, katanya, apabila UMNO mahu MIC mengurangkan calonnya sehingga 35 peratus dalam PRU-15 nanti.
“Kalau begitu UMNO juga mesti mengurangkan bilangan calonnya sekurang-kurangnya 10 peratus, tetapi kita yakin ini tidak akan terjadi,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×