PETALING JAYA: Peguam Mahmud Jumaat tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf pada prosiding kes pengabaian kanak-kanak autisme itu di Mahkamah Sesyen di sini.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Hadzwan Ayob dari Tetuan Emir Mahmud & Co. pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh, hari ini.
Beliau berkata, firma guaman yang mewakili Ismanira sebelum ini, tidak lagi bertindak bagi pihak tertuduh kedua selepas Ismanira menghantar surat menamatkan khidmat guaman mereka.
Sementara itu, peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili tertuduh pertama, Zaim Ikhwan Zahari memaklumkan, pihaknya kini bertindak bagi kedua-dua tertuduh dalam kes itu.
Zaim Ikhwan, 29, dan Ismanira, 29, dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










