JAKARTA: Indonesia melancarkan skim visa jangka panjang sehingga 10 tahun untuk menarik pelabur asing.
Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) berkata, dengan jumlah pelaburan sehingga AS$10 juta (RM46.65 juta), inisiatif itu menawarkan visa 10 tahun dan akses kepada ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
‘Visa Emas’ lima tahun memerlukan pelabur individu untuk menubuhkan sebuah syarikat bernilai AS$2.5 juta (RM11.6 juta), manakala visa 10 tahun memerlukan pelaburan AS$5 juta (RM23 juta).
Individu yang tidak ingin menubuhkan syarikat mesti melabur AS$350,000 (RM1.6 juta) dan AS$700,000 (RM3.2 juta) untuk mendapatkan permit lima tahun serta 10 tahun.
Katanya, wang tersebut boleh digunakan untuk membeli bon kerajaan Indonesia, saham syarikat awam atau deposit wang.
Jokowi berkata, visa tersebut bertujuan menarik pelancong berkualiti tinggi.
“Kami melancarkan visa emas untuk memudahkan warga asing melabur dan menyumbang di Indonesia,” katanya.
Pelabur korporat dikehendaki melabur AS$25 juta (RM116 juta) untuk mendapatkan visa lima tahun bagi pengarah dan pesuruhjaya.
Mereka perlu melabur AS$50 juta (RM233 juta) untuk mendapatkan visa 10 tahun.
Menurut agensi imigresen, jika pelaburan dibuat di ibu kota baharu bernilai AS$32 bilion (RM149 bilion) yang sedang dibina di hutan pulau Borneo, pelaburan AS$5 juta (RM23 juta) akan memberikan pelabur visa lima tahun dan AS$10 juta (RM46.65 juta) visa 10 tahun.
Beberapa negara menawarkan skim pelaburan yang sama, termasuk Kanada, Britain dan Singapura yang sudah membatalkan skim tersebut.
Ini kerana, kerajaan membuat kesimpulan inisiatif itu tidak mewujudkan pekerjaan dan menjadi cara untuk meletakkan wang spekulatif.- REUTERS











