IPOH: Pihak sekolah di negeri ini diingatkan supaya mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan sumbangan pihak luar berikutan kes sebuah sekolah di Selangor yang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, menerusi pekeliling KPM pada tahun 2018 sudah dinyatakan pemberian sumbangan kepada sekolah tidak membenarkan syarikat melibatkan arak, rokok dan judi.
Menurutnya, malah dalam acara sukan seperti liga bola sepak Malaysia sekali pun tidak dibenarkan menggunakan penajaan atau sumbangan daripada syarikat berkaitan arak, rokok dan judi.
“Pentadbiran sekolah harus memastikan pihak yang ingin memberi sumbangan atau bantuan mestilah berdaftar selain sumber kewangannya datang dari sumber yang sahih. Ini untuk memastikan tidak timbul keraguan dan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.
“Semua pihak mestilah patuh terhadap prosedur yang ditetapkan dan saya minta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau perkara tersebut supaya kejadian tersebut tidak terjadi di negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Akademik Negeri Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Jumaat lalu, tular satu program penganjuran majlis kutipan dana di sebuah sekolah yang melibatkan syarikat pengeluar minuman keras.
Berikutan itu, KPM sedang melakukan siasatan lanjut berhubung isu tersebut.
Sementara itu, seramai 120 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu, diraikan pada majlis tersebut.
Mereka termasuk tujuh pelajar cemerlang SPM, 82 pelajar cemerlang STPM dan 22 pelajar cemerlang STAM yang menerima sijil dan wang tunai RM500.
Seramai 29 pelajar dari golongan B40 yang cemerlang dalam akademik menerima Biasiswa Menteri Besar serta Skim Biasiswa Agrotek Negeri Perak. – UTUSAN











