SHAH ALAM: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memberi jaminan akan menjaga kebajikan pekerja dan memastikan nasib mereka terus terbela.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, itulah komitmen beliau setelah dilantik menerajui kementerian itu.
Namun, katanya, itu tidak bermakna beliau mengabaikan majikan yang pernah berada di bawah tanggungjawabnya semasa menjadi Timbalan Menteri Kewangan II.
“Ada majikan berkecil hati (dengan perhatian saya terhadap pekerja) pasal apa dulu saya bercakap pasal ekonomi, majikan, syarikat dan pelabur tetapi sekarang bercakap pasal pekerja sahaja.
“Saya kata kepada mereka (majikan) kita ada empat hingga lima kementerian yang menjaga (kepentingan mereka) pelaburan, ekonomi, kewangan dan usahawan. Hanya ada satu kementerian iaitu Kesuma yang menjaga pekerja, kalau bukan Kesuma jaga pekerja siapa lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif Pertama 2024-2026 antara Aeon Co. (Malaysia) Berhad.dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Aeon, semalam.
Tambahnya, golongan pekerja dan majikan pada dasarnya perlu bergerak seiring untuk memastikan kedua pihak mendapat manfaat.
“Sebenarnya nasib pekerja dan majikan ditentukan oleh kedua pihak yang ingin maju. Kebajikan pekerja perlu dijaga agar pekerja bekerja berusaha bersungguh-sungguh supaya syarikat peroleh keuntungan.
“Kalau syarikat tidak untung atau tidak produktif dan pekerja akan hilang pekerjaan. Jadi nasib pekerja dan nasib majikan terikat antara satu sama lain,” ujarnya.










