PETALING JAYA: Penyalahgunaan ketum atau bahan psikoaktif mitragynine memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal) yang boleh menyebabkan ketagihan.
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu disokong dengan tiga kajian dilaksanakannya bersama dua universiti awam pada 2013 dan 2014.
Katanya, hasil kajian mendapati hubungan signifikan terhadap pengambilan air daun ketum dengan prestasi akademik dan tingkah laku yang menjadikan seseorang pelajar malas hendak ke sekolah serta tidak memberi tumpuan semasa dalam kelas.
“Apabila pelajar meminum air daun ketum, tingkah laku pelajar juga menjadi berubah seperti bertindak lebih agresif apabila gagal mendapatkan sesuatu barang yang mengkhayalkan seterusnya mengajak rakan-rakan mereka terlibat sama untuk meminum air daun ketum.
“Daripada permulaan meminum air daun ketum yang mengakibatkan perubahan tingkah laku seterusnya menjadi lebih teruk kepada mengambil bahan-bahan yang lebih mengkhayalkan seperti dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Darshan Singh Mahinder menyifatkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diluskan Khamis lalu bakal menjadikan pengguna ketum sebagai ‘mangsa’.
Memetik laporan sebuat portal, beliau berkata, ini kerana terdapat peruntukan dalam RUU itu yang mengancam penggunaan ketum.
Dalam pada itu AADK berkata, dapatan kajian turut menunjukkan perbezaan corak penggunaan dan bentuk pengambilan ketum dalam dua kategori belia, iaitu lingkungan umur antara 12 hingga 29 tahun dan kumpulan umur 30 hingga 39 tahun.
“Corak dan bentuk penyalahgunaan ketum bagi kategori belia di bawah umur 30 tahun adalah lebih menjurus kepada mengikut rakan dan mendapatkan keseronokan.
“Golongan ini juga lebih cenderung untuk mencampurkan bahan lain di dalam ketum bagi tujuan mendapatkan rasa yang lebih sedap di samping menghilangkan rasa pahit ketum,” jelasnya. – UTUSAN











