Bermula kencing manis, tiga beranak hidap sakit buah pinggang kronik

Bermula kencing manis, tiga beranak hidap sakit buah pinggang kronik

SOPIAH Osman (kanan) menjalani dialisis di Pusat Hemodialisis Nor Kasih di Bagan Serai, Perak. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Bermula dengan kencing manis, seorang wanita dan dua anak lelakinya kemudian menghidap penyakit buah pinggang kronik malah seorang anaknya meninggal dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu dialami Sopiah Osman, 55, yang menjalani rawatan dialisis selama 16 tahun akibat penyakit buah pinggang.

Katanya, anaknya, Mohd. Fit­ri Abdul Hamid dan Mohd. Shafiq Abdul Hamid, 22, juga menghadapi kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

Menurutnya, Mohd. Fitri me­ninggal dunia pada usia 25 tahun setelah menjalani dialisis selama setahun.

Sopiah mengakui penyakit buah pinggang yang dideritai­nya berpunca daripada pengambil guna berlebihan selain faktor keturunan.

“Saya mendapat penyakit buah pinggang setelah disahkan menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi di sam­ping mempunyai sejarah ahli keluarga sakit buah pinggang.

“Dua anak saya juga menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani dialisis. Seorang daripadanya sudah meninggal dunia kerana penyakit ini manakala seorang lagi masih menjalani rawatan cuci buah pinggang.

“Nasihat saya kepada ma­syarakat supaya menjaga pemakanan terutama kandungan gula bagi mengelak kerosakan buah pinggang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sopiah antara pesakit yang menjalani rawatan di pusat dialisis persendirian di sini iaitu Pusat Hemodialisis Nor Kasih.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan rakyat Malaysia mengambil terlebih gula dengan orang dewasa, 26 sudu sehari berbanding enam sudu seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu lebihan sehingga 80 peratus.

Berdasarkan data platform World Population Review, Malaysia menduduki tempat ke-14 negara tertinggi dunia dalam pengambilan gula iaitu seba­nyak 41.63 kilogram (kg) per kapita setahun atau bersamaan 8,326 sudu teh gula.

Angka itu membuktikan penggunaan gula adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga mendorong satu daripada enam orang dewasa atau 15.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini didiagnosis sebagai pengidap diabetes se­perti laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.

Menurut laporan NHMS, bilangan pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis meningkat 5,000 sehingga 10,000 orang setiap tahun, kebanyakannya berpunca daripada kencing manis akibat pengambilan gula berlebihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN