TAIPING: Selain Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang kering berikutan musim panas, kawasan rekreasi popular di Taiping, iaitu Taman Tasik Taiping turut berdepan masalah sama.
Difahamkan sebahagian tasik itu sudah kering sejak dua minggu lalu menyebabkan tanah di dasar merekah.
Sebelum ini keadaan sama pernah berlaku, namun tidak sekering kali ini disebabkan kurangnya taburan hujan di bandar tersebut.
Taiping dikenali sebagai bandar paling basah di negara ini berikutan hujan yang kerap, namun sejak kebelakangan ini kawasan itu sudah lama tidak menerimanya.
Taman Tasik Taiping merupakan taman awam pertama di negara ini dan antara taman tercantik.
Taman itu membawa simbol ketenangan kepada pengunjung dengan pemandangan pokok hujan-hujan berusia lebih satu abad.
Sementara itu, pengunjung mengakui terkejut dengan keadaan tasik itu yang kering sebahagiannya dan dianggap paling teruk pernah berlaku.
Seorang pengunjung dari Kuala Kangsar yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka tasik tersebut boleh kering.
“Saya datang bersama isteri untuk mengimbau nostalgia semasa kami muda-muda dahulu yang sering ke sini.
“Namun, kami terkejut apabila sampai sahaja di sini, didapati sebahagian tasik ini kering sehingga menampakkan dasarnya yang merekah.
“Ini menunjukkan tasik ini sudah lama kering. Memang kami tidak menjangkakan keadaan ini boleh berlaku dan menunjukkan cuaca ketika ini sangat panas,” katanya. – UTUSAN











