BANGKOK: Bank Pusat Thailand dan pejabat antipengubahan wang haram akan menyiasat dakwaan bank perdagangan negara itu memudahkan transaksi berkaitan dengan pembelian senjata junta Myanmar.
Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan pihak lain mengenakan sekatan meluas terhadap anggota junta Myanmar dan entiti dalam perniagaannya.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan bulan lalu berkata, junta mengimport hampir AS$130 juta (RM606 juta) senjata dan bekalan ketenteraan daripada pembekal berdaftar Thailand hingga Mac 2024.
Menurut pelapor khas, Tom Andrews, lima bank komersial di Thailand memainkan peranan penting dalam memudahkan transaksi tersebut, dengan jumlahnya lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Jurucakap Hal Ehwal Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, pegawai kerajaan dan perbankan pada Rabu berbincang mengenai urus niaga yang mungkin dikaitkan dengan pembelian senjata, bekalan tentera dan kerajaan Myanmar.
Bank of Thailand dan pejabat antipengubahan wang haram akan bersama menubuhkan Pasukan Petugas untuk menyiasat transaksi itu, katanya.
Beliau tidak memberikan butiran mengenai tempoh masa untuk siasatan.- AFP











