Dewan Negara: Tiga tahap penilaian pokok berisiko tumbang  Dewan Negara: Tiga tahap penilaian pokok berisiko tumbang 

Dewan Negara: Tiga tahap penilaian pokok berisiko tumbang 

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdapat tiga tahap atau peringkat penilaian terhadap pokok-pokok berusia atau berisiko tumbang mengambil iktibar insiden yang berlaku di ibu negara pada Mei lalu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa berkata, tahap satu menyaksikan non-arborist membuat pemeriksaan pokok melalui penilaian visual berdasarkan pengalaman kerja dan pengetahuan dalam bidang arborikultur. 

Katanya, tahap dua penilaian melalui Visual Tree Assessment (VTA) yang dilaksana oleh arborist bertauliah atau ‘doktor pokok’ dengan menggunakan standard ditetapkan oleh International Society of Arboriculture (ISA). 

Selain itu, katanya, tahap tiga adalah penilaian keadaan struktur pokok menggunakan peralatan khas dinamakan resistograph dan menggunakan khidmat pemanjat pokok untuk menilai setiap bahagian atas pokok. 

“Penilaian dan pemeriksaan pokok bagi tahap satu dilaksana pada setiap 10 bulan, manakala bagi tahap dua dan tiga dilaksana di lokasi yang mempunyai sejarah kegagalan pokok yang mempunyai bilangan pokok berusia tinggi. 

“Ini termasuk lokasi berfrekuensi tinggi berdasarkan penggunaan orang awam dan kawasan yang padat dengan harta benda berharga,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya (UMNO) tentang bentuk pemantauan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap daya tahan dan perkembangan usia pokok-pokok besar di ibu negara. 

Pada 26 Jun lalu, Zaliha memaklumkan penubuhan jawatankuasa berkenaan secara rasmi susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.  

Jawatankuasa itu melibatkan beberapa kluster keanggotaan termasuk para akademik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), badan profesional seperti Persatuan Arboris Malaysia dan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur malah diperluas kepada aktivis alam sekitar.

Pada 7 Mei lalu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun maut, manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail. 

Pada 13 Mei lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa pihak berkuasa melantik arboris bertauliah untuk memeriksa secara menyeluruh pokok-pokok tua dan berisiko tinggi untuk tumbang.

Dalam pada itu, kata Zaliha, mesyuarat Jawatankuasa Pandu Task Force Pengurusan Pokok Berisiko di Kuala Lumpur yang dipengerusikannya akan sentiasa memastikan mekanisme pemantauan ditambah baik. 

“Untuk makluman, DBKL menjalan pemeriksaan secara komprehensif bagi kerja-kerja pemeriksaan kesihatan dan kesuburan pokok yang tidak boleh dilihat dengan VTA seperti bahagian akar, batang dan silara pokok. 

“DBKL turut menggunakan sistem e-pokok iaitu sistem yang dibangunkan pada 2019 dengan jumlah pokok yang dimasukkan sebanyak 236,551 pokok.

“Sistem ini bertujuan merekod data inventori pokok, penanaman poko baharu, daftar pokok serta kerja-kerja penyelenggaraan pokok. Hasilnya, ini dapat membantu DBKL memantau dan menyediakan laporan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di ibu negara,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN