Johari adakan lawatan kerja ke DUN Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Johari adakan lawatan kerja ke DUN Negeri Sembilan

JOHARI Abdul bersalaman dengan MK Ibrahim selepas mereka mengadakan pertemuan di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini mengadakan pertemuan bersama  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman dalam lawatan kerja beliau ke DUN Semenanjung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lawatan kerja itu juga bersempena Pra Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024.

Johari berkata, dalam pertemuan beliau Bersama MK Ibrahim itu, pelbagai perkara dibincangkan terutamanya mengenai perjalanan Dewan dan juga berkaitan dengan perundangan.

“Di samping itu kami ingin melihat perbincangan dapat dilaksanakan secara berterusan supaya dapat selaraskan apa yang perlu memandangkan Speaker sebagai satu institusi paling penting di Dewan jadi perjalanan dan kehadiran Speaker itu penting.

“Kedua adalah memperkemaskan institusi Speaker ini dalam menghadapi negara yang sedang maju bergerak, sudah tentu ada cabaran yang harus dihadapi terutamanya dalam bentuk ekonomi, bagaimana harus pantaskan pergerakan kita,” katanya kepada pemberita di sini. 

Selain itu, beliau memberitahu turut membincangkan persiapan Parlimen Malaysia sebagai tuan rumah bersempena Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada 2025.

“Sebab itu kita perlu bersedia dari segi mentaliti buat perubahan-perubahan apabila ekonomi itu berkembang di kawasan Asia Tenggara.

“Tidaklah lagi kita menjadi ‘passenger’ (penumpang) tapi kali ini jadi ‘driver’ (pemandu). Banyak benda perlu dilakukan di DUN contohnya dari segi kepantasan.

“Kalau di peringkat DUN mempunyai masalah-masalah tertentu seperti kecekapan kemahiran digital atau perundangan diperlukan, rakan-rakan di Parlimen dapat membantu bagaimana melengkapkan diri dalam menyambut perkembangan ekonomi yang akan datang” katanya. 

Sementara itu, MK Ibrahim berkata, pertemuan yang berlangsung boleh dianggap sejarah bagi DUN Negeri Sembilan dan pihaknya berbesar hati dapat mengadakan perbincangan bersama Johari. 

“Dengan ini dapat meluaskan lagi ilmu serta perkongsian mengenai perjalanan serta pengurusan DUN. Insya-Allah kita bersedia perbaiki ruang-ruang berdasarkan perbincangan petang ini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN