BERUAS: Penemuan tong untuk mengisi siput belitung di kawasan dua lelaki dilaporkan hilang sejak 18 Jun lalu di hutan paya bakau Sungai Tuntung, Pantan Remis disahkan bukan milik mangsa yang hilang.
Yahya Harun, 56, dan rakannya, Azman Mat Jaab, 61, masih gagal ditemukan setelah keluar mencari siput belitung di hutan paya bakau tersebut sejak lebih sebulan lalu.
Anak Yahya, Mohamad Noor Azlan, 28, berkata, memasuki hari ke 36 kehilangan itu, setakat ini belum ada petunjuk yang jelas atau jejak tepat bapa dan rakan bapanya.
Katanya, walaupun menemukan tong mengisi siput belitung di kawasan dilaporkan hilang, namun ia bukan milik mereka.
“Sepanjang pencarian, kami menemukan tong berwarna biru yang biasanya digunakan untuk mengisi siput. Tong itu dijumpai di atas kayu tetapi bukan milik ayah atau kawannya.
“Setahu saya ayah biasanya membawa guni untuk mengisi siput yang dkutip. Saya percaya tong berwarna biru itu bukan milik ayah kerana di kawasan hutan bakau itu buka dia sahaja masuk untuk mencari siput,” katanya semalam.
Menurutnya, walaupun sudah lebih sebulan bapa dan rakan bapanya itu hilang, dia tidak berputus asa mencari dan masih berharap ada penemuan atau jejak untuk menjumpai dua mangsa yang hilang.
Katanya, walaupun apa pun cabarannya, mereka meneruskan usaha dengan bantuan penduduk kampung dan sukarelawan.
“Baru-baru ini kami pergi mencari bersama kira-kira 10 sukarelawan. Kami menemukan tapak kaki harimau dipercayai harimau kumbang. Berapa malam kemudian, kami terjumpa seekor harimau kumbang.
“Kami diberitahu memang ada harimau kumbang di kawasan paya bakau di sini yang biasanya keluar pada waktu malam. Walaupun berdepan cabaran sukar, kami tetap teruskan mencari,” katanya. – UTUSAN











