Penolong pegawai tadbir MBMB didakwa terima wang syarikat pengiklanan

Penolong pegawai tadbir MBMB didakwa terima wang syarikat pengiklanan

cabul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penolong pegawai tadbir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima barang berharga berjumlah RM2,700 daripada kontraktor sebuah syarikat pengiklanan.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Firdaus Ab. Aziz, 41, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,200 tanpa balasan daripada pengurus sebuah syarikat pengiklanan yang diketahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Oktober 2021.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menerima wang tunai berjumlah RM500 daripada individu dan syarikat sama di lokasi sama antara 15 hingga 31 Januari 2023.

Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM5,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×