PETALING JAYA: Kerajaan akan memastikan penggunaan internet di negara ini termasuk media sosial selamat digunakan oleh semua pihak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jenayah dalam talian ketika ini disifatkan sebagai satu perkara amat membimbangkan sehinggakan trend jenayah tradisional telah beralih ke ruang siber termasuk penggunaan media sosial.
Menurut beliau, pihaknya telah mendengar taklimat berhubung perkara itu dan akan berusaha memastikan platform media sosial selamat untuk digunakan.
“Isu jenayah dalam talian sangat membimbangkan. Trend menunjukkan jenayah tradisional telah mula ‘berpindah’ ke ruang siber termasuk media sosial.
“Pagi ini saya mendengar taklimat bersama Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Insya-Allah, kita akan usahakan yang terbaik untuk memastikan internet termasuk media sosial lebih selamat untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan terdapat keperluan untuk meneliti kewujudan akta baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian seiring perkembangan pesat teknologi. – UTUSAN










