KUALA LUMPUR: “Mungkin wujud keselesaan bekerjasama.”
Demikian respons pelakon, Zul Ariffin, 38, mengenai persepsi segelintir pihak yang melabelkan dia sebagai ‘anak emas’ kepada syarikat produksi gergasi tempatan, Infinitus Films.
Zul yang menolak tanggapan itu berkata tiada istilah menjadi ‘anak emas’ sebaliknya penglibatannya dalam kebanyakan filem terbitan syarikat berkenaan adalah atas dasar keserasian dan keselesaan dalam bekerjasama.
“Jika diamati, kebanyakan penerbit atau pengarah, lebih-lebih lagi daripada syarikat (produksi)
gergasi sering menggunakan khidmat orang-orang yang pernah bekerja dengan mereka.
“Bukan saya kata mereka pilih kroni, tapi mungkin mereka lebih selesa bekerja dengan sekumpulan individu yang mereka kenal. Begitu juga halnya antara saya dengan Infinitus Films.
“Keadaan ini tidak sepatutnya menjadi isu. Kalau kita amati, keadaan yang serupa berlaku di stesen televisyen. Pusing-pusing, muka yang sama. Mungkin sebab keselesaan dalam bekerjasama.
“Alhamdulillah, setakat ini banyak filem terbitan Infinitus yang saya lakonkan. Bahkan syarikat inilah yang memberi peluang pertama kepada saya untuk memegang peranan utama dalam filem. Tak mengapalah kalau ada yang bergurau melabelkan saya ‘anak emas’ mereka. Asalkan saya beri kualiti kerja yang mereka mahukan,” katanya.
Zul ditemui sebelum sesi forum sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2024 bertempat di GSC Mytown, semalam.
Turut diundang sebagai panel forum tersebut adalah pelakon dan pelawak, Zizan Razak.
Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin pada masa sama turut menolak pandangan yang kononnya hubungan baik dengan penerbit, Gayatri Su Lin Pillai sebagai jalan mudah untuk dia mendapatkan peluang berlakon dengan syarikat berkenaan.
“Kalau ada yang berpandangan begitu, jangan. Dialah yang paling tidak memilih bulu. Bahkan dia juga lebih memilih pelakon yang lain berbanding saya.
“Dan saya bukan artis yang mengamalkan budaya bermesej dengan penerbit semata-mata untuk mendapatkan kerja lakonan. Saya nak berdiri atas kali sendiri, tak mahu bergantung harap kepada orang lain.
“Saya lebih rela tidak diambil bekerja daripada gunakan jalan itu,” kongsinya.
Pada masa yang sama, Zul juga menegaskan bahawa dia bukan pelakon yang suka melobi tawaran lakonan semata-mata untuk kekal dalam dunia drama dan perfileman.
“Saya tak akan paksa orang untuk ambil saya berlakon. Itu prinsip saya. Saya bukan pelakon yang suka melobi.
“Kalau anda merasakan berbaloi untuk menggunakan khidmat lakonan saya, teruskan.
“Tetapi jika anda berpandangan saya tidak memenuhi kriteria, kita boleh berbincang. Tiada paksaan, tiada tekanan,” jelasnya.











