WASHINGTON: Pengarah Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS), Kimberly Cheatle meletak jawatan selepas berdepan desakan kerana gagal melindungi calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump dalam satu cubaan membunuhnya ketika perhimpunan di Butler, Pennsylvania pada 13 Julai lalu.
Reuters melaporkan, keputusan itu dibuat semalam setelah Cheatle disoal siasat oleh Jawatankuasa Penyeliaan Dewan Perwakilan di hadapan pemimpin-pemimpin Parti Republikan, di sini.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, James Comer berkata, peletakan jawatan itu dibuat selepas Cheatle gagal menjalankan tanggungjawabnya selain menambah satu siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung perkara berkenaan.
Cheatle dalam surat peletakan jawatannya berkata, dia terpaksa melepaskan jawatan itu dengan berat hati dan tidak mahu pengundurannya menjejaskan misi keselamatan Perkhidmatan Rahsia AS.
Sehubungan itu, jawatan tersebut akan dipangku Timbalannya, Ronald Rowe.
Trump cedera di telinga kanan selepas penyerang, Thomas Crooks, 20, melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah bumbung bangunan berhampiran sebelum suspek ditembak mati.
Perkhidmatan Rahsia AS meletakkan bangunan itu di luar perimeter kawasan yang sepatutnya dikawal walaupun hanya berjarak 140 meter daripada lokasi Trump memberi ucapan, langkah yang dikritik pemimpin-pemimpin Parti Republikan.
Cheatle mengetuai agensi keselamatan berkenaan sejak 2002.










