Kerjasama UMNO-Pas: 'Mereka tidak jumpa saya' - Utusan Malaysia

Kerjasama UMNO-Pas: ‘Mereka tidak jumpa saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Mereka tidak  berjumpa saya”.

Demikian kata  Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai ura-ura pemimpin utama parti itu didakwa mengadakan siri  perbincangan bagi menghidupkan semula  kerjasama dengan Pas.

Menurut beliau, pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan mungkin dilakukan secara peribadi.

“Sehingga kini, mereka tidak berjumpa dengan saya. Jika ada pun, mungkin itu pendekatan dibuat secara peribadi bukan secara rasmi,” katanya  ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Fisio dan Rehabilitasi Sukan Propain, Seksyen 13 di sini, petang ini.

Akhbar ini semalam melaporkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan terdapat be­berapa siri pertemuan bersama pe­mimpin UMNO yang  kerap berlaku ketika ini bagi membincangkan kerjasama bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Susulan itu, Ahmad Fadhli berkata, pertemuan secara tidak formal antara pe­mimpin utama kedua-dua parti itu dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.

Dalam pada itu,  Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut  menafikan dakwaan itu dan ia mungkin hanya berlaku dalam kalangan ahli atau penyokong, namun bukan membabitkan kepimpinan kedu-dua  parti.

Dalam perkembangan  berasingan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri enggan mengulas mengenai keputusan beliau sama ada mahu mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti akan datang.

”Pemilihan parti akan berlangsung pada 2026. Tahun depan baru 2025. Jadi, ia lama lagi,” ujarnya.

Minggu lalu, beliau menjelaskan dirinya sentiasa bersikap terbuka sekiranya dua jawatan utama dalam parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Semua perkara itu bergantung kepada keputusan yang akan dibuat pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×