PETALING JAYA: Pasangan suami isteri kerugian RM400 selepas cermin belakang kenderaan dinaiki mereka dihentak menggunakan batu sehingga pecah oleh penunggang motosikal di persimpangan Jalan Jengka SS17, dekat Subang Jaya pada 17 Julai lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, wanita berusia 42 tahun yang bekerja sebagai jurubahasa bersama suaminya dalam perjalanan dari SS14 sebelum diekori individu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Wan Azlan Wan Mamat berkata, setiba di lokasi kejadian, pasangan berkenaan terdengar bunyi hentakan kuat di bahagian belakang kereta Perodua Myvi dipandu.
Kata beliau, ketika kejadian wanita dan suaminya berada di dalam kenderaan itu.
“Siasatan awal mendapati pengadu dan suami tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.
“Hasil semakan menerusi kamera papan pemuka (dashcam) di bahagian belakang kenderaan mendapati mereka tidak mengenali suspek,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Mazlan berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan berpandukan kamera dalam kenderaan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Asisten Superintenden Ahmad Faizal Shaikh Abd. Rahim di talian 019-7506606 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN









