LUMUT: Anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut menziarahi kubur Allahyarham Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, yang terkorban dalam nahas helikopter April lalu di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, dekat sini kelmarin.
Mereka diiringi ahli keluarga Allahyarham diketuai bapanya, Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, dan turut membersihkan kubur.
Mohd. Termizi mengakui terharu dengan kehadiran rakan-rakan anaknya yang menziarahi semasa proses memasang kepuk di kubur anaknya.
Katanya, kawan-kawan Mohd. Shahrizan menyatakan kerinduan terhadap Allahyarham selepas tiga bulan tragedi yang berlaku pada 23 April lalu.
“Saya terharu apabila mereka tetap ingat anak saya dan menziarahi kuburnya di sini. Mereka membersihkan kubur dan mengadakan majlis tahlil untuk arwah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak TLDM dan rakan-rakan anak saya yang menziarahi kuburnya Allahyarham. Ziarah Ini sebagai tanda ingatkan rakan-rakannya terhadap anak saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Termizi memberitahu pemasangan kebuk dikubur anakya disumbangkan seorang individu yang juga pembuat kepuk bernama Aiman Hakim Baharudin, 20.
Beliau berkata, walaupun sudah tiga bulan tragedi yang mengorbankan anaknya, dia masih tetap terkenangnya anaknya itu.
Katanya, dia masih rasa sedih di atas kejadian yang berlaku apatah lagi apabila berada di kubur anaknya.
“Walau apa pun saya reda atas apa yang berlaku,” katanya. – UTUSAN










