Isu papan iklan haram tumbang: Hak pembangkang lapor

Isu papan iklan haram tumbang: Hak pembangkang lapor SPRM – Rais

RAIS Yasin ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Kampung Bukit Kecil, Jalan Tanjung Kling, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pembangkang di negeri ini berhak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya berasakan wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah berhubung isu dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini, yang disahkan tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata demikian sebagai respons kepada sesi sidang akhbar yang bakal dilakukan Perikatan Nasional (PN) esok selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Melaka, Alai.

Kata Rais, semua PBT di negeri ini telah diarah melakukan pemantauan terhadap kewujudan papan iklan haram bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, seterusnya mengelak insiden tidak diingini kepada orang awam khususnya pengguna jalan raya.

“Kalau mereka (pembangkang) rasa ada sesuatu kesalahan yang mereka rasa hendak laporkan kepada SPRM, itu hak mereka, tetapi perlu ingat mereka juga pernah berada dalam kerajaan.

“Kadang-kadang masalah yang kita hadapi sekarang ini diwarisi dari kepemimpinan terdahulu. Mungkin juga dari zaman mereka, tetapi di pihak saya bukanlah untuk salahkan sesiapa, sebaliknya lakukan sehabis baik,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Kampung Bukit Kecil, Jalan Tanjung Kling di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir baru-baru ini berikutan angin kuat yang melanda kawasan itu disahkan tidak mempunyai lesen dikeluarkan PBT.

Empat PBT di negeri ini diminta memantau pemasangan papan iklan terutama yang dipasang secara haram kerana ia boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Papan iklan haram berkemungkinan tidak mengikut prosedur pemasangan ditetapkan sehingga menyebabkan ia tumbang ketika dilanda angin kuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×