MELAKA: Seramai 21 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di negeri ini memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, seramai 1,093 calon telah mendaftar untuk menduduki STPM 2023.
Kata beliau, daripada jumlah itu seramai 1,081 calon hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
“Calon mendapat PNGK 3.75 dan ke atas adalah seramai 62 orang diikuti 3.0 dan ke atas (164), 2.75 dan ke atas (362) dan 2.0 dan ke atas (375). Justeru, PNGK STPM Melaka 2023 adalah 2.81 mata.
“Sekolah di Melaka telah mencatatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan. Sebanyak 14 sekolah mencapai 100 peratus lulus daripada 17 sekolah yang mengambil STPM 2023,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Apresiasi Peperiksaan STPM 2023 di Dewan Bestari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di sini, hari ini.
Tambah Rosli, seramai 1,077 daripada 1,081 calon yang menduduki peperiksaan layak mendapat sijil.
“Hanya empat calon atau tidak sampai satu peratus gagal mendapat sijil. Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam empat atau lima mata pelajaran turut meningkat iaitu sebanyak 99.63 peratus,” ujarnya. – UTUSAN











