PONTIAN: Seorang anak pemandu lori memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Siti Saffanatun Nafisah Abd. Mungin@Abd. Munir, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut memang sejak awal bertekad untuk meraih keputusan cemerlang bagi memudahkannya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.
“Saya bersyukur kerana berjaya memenuhi impian keluarga untuk melihat saya melangkah ke menara gading bagi mencapai impian menjadi seorang pendidik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Dahlan, Benut, dekat sini hari ini.
Anak keenam daripada tujuh beradik bagi pasangan Abd. Mungin@ Abd.Munir Jamadi, 55, dan Siti Sharifah Mohd. Subohi, 53, tidak patah semangat walaupun sebelum ini gagal dalam percubaan untuk memasuki Unversiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Saya akan memohon memasuki universiti yang menawarkan pengajian Ijazah Pendidikan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) dan sebagainya,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Nafisah.
Dia mengakui waktu malam sebagai masa yang sesuai untuk belajar, selain sentiasa bersyukur, menghormati ibu bapa dan guru sebagai kunci kejayaannya.
“Saya juga sentiasa mengulang kaji pelajaran yang diajar dalam kelas selain mendapatkan maklumat bantuan secara dalam talian sekiranya ada keraguan dan masalah,” jelasnya yang amat berterima kasih atas pengorbanan ibu dan bapa yang menghantarnya ke sekolah setiap hari sejauh 30 kilometer.
Sementara itu, Siti Sharifah bersyukur dengan kejayaan itu dan berharap anaknya dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya dan suami sentiasa berusaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak selain memenuhi keperluan mereka semasa belajar,” katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
Pengetua SMK Benut, Mat Jalani Tasrif berkata, selain Siti Saffanatun Nafisah, tiga lagi pelajar turut memperoleh PNGK 4.0, iaitu Koh Su Yun, Cha Jin Ye dan Lim Yin Ting, manakala lapan lagi pelajar mendapat 4A. – UTUSAN










