KUALA LUMPUR: Bank Rakyat komited dalam memperkasa program Bank Rakyat UNIpreneur 4.0 yang bertujuan membantu mahasiswa dari golongan asnaf di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, mahasiswa golongan asnaf yang berminat dalam bidang keusahawanan akan diberikan platform untuk memulakan perniagaan mereka.
Menurutnya, kerajaan telah mewujudkan satu program khas untuk remaja dan mahasiswa melalui Bank Rakyat UNIpreneur yang merupakan inisiatif melibatkan penglibatan anak remaja, yang merupakan golongan terbesar usahawan masa depan.
“Saya juga telah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) supaya semua agensi di bawah KUSKOP akan menjalankan program khas untuk remaja.
“Perbincangan ini bertujuan untuk memastikan mahasiswa memiliki platform untuk memulakan perniagaan sebaik sahaja mereka tamat belajar. Dengan ini, isu kekurangan peluang pekerjaan dapat dikurangkan kerana mereka telah dilatih sejak dari universiti untuk menjadi usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perasmian Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, objektif program Bank Rakyat UNIpreneur adalah untuk membantu usahawan mahasiswa asnaf yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka, seiring dengan matlamat pembangunan mampan yang diutarakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kata beliau, setakat ini, terdapat 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang telah menyertai program ini dengan 800 peserta telah menerima manfaat sebanyak RM3.82 juta dari program yang dijalankan.
“Saya berharap semua agensi di bawah KUSKOP akan melaksanakan program yang serupa untuk membangunkan golongan remaja di negara kita. Contohnya, program UNIpreneur yang melibatkan mahasiswa yang belajar bidang perniagaan.
“Setelah tamat pengajian, mereka akan memiliki asas yang kukuh untuk memulakan perniagaan sendiri dimana ini adalah langkah untuk mengurangkan masalah pengangguran di kalangan remaja dengan memberikan mereka peluang menjadi usahawan yang berjaya,” jelasnya. – UTUSAN











