ALOR SETAR: Pencapaian Gred Purata negeri (GPN) Kedah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 mencatat peningkatan sebanyak 0.04 kepada 2.88 berbanding 2.84 pada tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Mahadhir Ismail berkata, angka itu juga mengatasi GPN dicatatkan di peringkat kebangsaan iaitu 2.84.
Bagaimanapun, bilangan calon yang memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 di negeri ini menurun 0.16 peratus kepada cuma 74 orang berbanding 84 orang pada 2022.
“Secara keseluruhannya, bilangan calon yang menduduki STPM 2023 di Kedah adalah seramai 2,981 orang. Daripada 74 calon itu, 59 individu atau hampir 80 peratus adalah dari kategori B40.
“Seorang calon dari negeri ini iaitu Yeoh Cheng Ti dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa 1 terpilih menerima anugerah Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi kategori Pelajar Terbaik STPM 2023 (Aliran Sains),” katanya dalam sidang akhbar di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin di sini, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 33 daripada keseluruhan 56 pusat peperiksaan di negeri ini mencapai gred purata (GP) yang mengatasi pencapaian nasional.
“Bilangan calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh di negeri ini ialah 2,829 orang iaitu 99.26 peratus berbanding 98.62 peratus yang dicatatkan bagi STPM 2022.
“Selain itu sebanyak 16 pusat peperiksaan berjaya memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 3.0 berbanding 18 pusat peperiksaan pada 2022. Secara keseluruhannya, 29 daripada 56 pusat peperiksaan mencatat peningkatan GPS,” katanya. -UTUSAN











