SEREMBAN: Penumpang yang terjejas dan mendapati syarikat penerbangan yang dinaiki mereka tidak mematuhi piawaian pelanggan susulan gangguan sistem komputer global yang mengakibatkan sebahagian perjalanan tergendala baru-baru ini boleh membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap penumpang mempunyai hak dan sekiranya tidak berpuas hati aduan perlu dibuat dengan disertakan butiran tertentu seterusnya disiasat oleh pihak Mavcom untuk tindakan diambil kepada syarikat penerbangan terlibat.
Bagaimanapun beliau memberitahu, gangguan sistem komputer yang berlaku baru-baru ini adalah di luar jangkaan dan ia perlu difahami semua pihak.
“Memang banyak penerbangan terjejas, ia bukan disengajakan, seluruh dunia terkesan, kita kena memahami bahawa dalam operasi penerbangan ini mereka menggunakan pesawat yang sama, kalau satu pesawat terlewat ia akan memberikan impak kepada penerbangan seterusnya.
“Saya faham ada prosedur yang boleh ditambah baik dan system komunikasi tetapi apa yang mahu saya harapkan rakyat boleh memahami keadaan bahawa apa yang berlaku pada minggu lepas adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
“Saya juga faham, ramai yang terkesan, rasa marah dan tidak berpuas hati oleh itu mereka boleh buat aduan kepada Mavcom, tetapi kita juga kena faham masalah dihadapi syarikat penerbangan pada Waktu itu, mereka juga tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program TVET Permotoran@ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berasa kecewa kerana terkandas di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) selama beberapa jam dan mendakwa syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia menukar jadual penerbangan dari Kota Kinabalu ke Sandakan, Sabah sebanyak lima kali.
Sementara itu, Siew Fook memberitahu, aduan mengenai penundaan dan pembatalan penerbangan memang sering diterima dan syarikat-syarikat penerbangan terlibat selalu dipantau malah sering didenda oleh pihak Mavcom.
Namun begitu, beliau menjelaskan banyak faktor yang perlu difahami pelbagai pihak yang menyebabkan masalah tersebut berlaku antaranya berkaitan teknikal dan cuaca.
“Saya harap semua pihak memahami, pelanggan yang tidak berpuas hati kalau penerbangan batal mereka boleh buat aduan tetapi pada masa yang sama kena juga lihat aspek keselamatan, itu mesti diberikan keutamaan, tidak boleh kompromi.
“Kita tidak boleh ambil risiko, kita faham apabila lewat orang akan marah dan maki tetapi lebih baik dimarahi daripada dikompromikan soal keselamatan saya harap semua pihak faham,” katanya lagi.-UTUSAN.











