ASP bersama dua koperal didakwa membunuh - Utusan Malaysia

ASP bersama dua koperal didakwa membunuh

KETIGA-tiga tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tiga polis termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden  (ASP) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, pada Januari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas ASP Azhar Mohamad Amir, 45; Koperal Shahril Firdaus Solleh, 36, dan Koperal Mohd. Shaharri Shah Mat Saad, 36, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, didakwa secara bersama membunuh Mohamad Hafiz Salleh, 32.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat operasi BSJN, IPD Langkawi antara pukul 6 petang hingga 8 malam pada 29 Januari lalu.

Berikutan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abd. Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menerima permohonan pendakwaan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Awal Februari lalu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan anggota polis dilihat menggunakan kekerasan ketika menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, di sini.

Lelaki terbabit menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari lalu selepas dua hari bertarung nyawa ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN