Kanak-kanak caesarean kurang daya tahan

Kanak-kanak caesarean kurang daya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADANGKALA timbul persoalan mengapa kanak-kanak hari ini kerap mengalami penyakit alahan seperti asma, rhinitis dan ekzema.

Penyakit alahan berpunca daripada ketidakseimbangan bakteria dalam usus dikenali sebagai mikrobiota.

Terdapat lebih 100 trilion sel mikrobiota di dalam usus manusia yang mempengaruhi
fisiologi, metabolisme, nutrisi dan fungsi imun atau ketahanan tubuh.

Bakteria mikrobiota di dalam usus yang terganggu, dikaitkan dengan masalah gastrousus seperti penyakit radang usus dan obesiti.

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik, Dr. Ong Sik Yong berkata, ramai tidak tahu mengenai usus iaitu organ terbesar dalam badan yang turut membekalkan nutrisi kepada seluruh tubuh.

Usus juga adalah sebahagian daripada sistem imun atau sistem ketahanan diri setiap manusia.

“Terdapat 70 hingga 80 peratus sel imun manusia berada dalam usus iaitu perut dan kolon.

“Setiap orang dilahirkan dengan bakteria ini yang bertambah setiap hari.

Bakteria ini perlu dipelihara dengan nutrisi betul supaya ia tidak berkurangan dan terus memainkan peranan penting untuk kesihatan,” katanya pada sesi Perbincangan Panel Sokongan Nutrisi untuk Kanak-Kanak Cesarian: Merapatkan Jurang.

Sesi itu turut disertai Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Shilpa Nambiar dan Pengarah Kanan Biologi Usus dan Mikrobiologi, Prof. Jan Knol.

Pelbagai kajian dijalankan sejak beberapa tahun lalu, mendapati pelbagai faktor boleh menyebabkan kehilangan microbiota atau bakteria baik di dalam usus sejak dilahirkan sehingga dewasa.

Dr. Ong berkata, kelahiran secara pembedahan atau caesarean adalah antara sebab berlakunya kekurangan mikrobiata atau bakteria baik ini.

“Ini berbeza dengan kelahiran normal di mana microbiota di dalam usus ibu ditelan semasa proses kelahiran.

“Mikrobiota juga akan musnah apabila kanak-kanak mengalami sebarang jangkitan penyakit kerana usus akan memusnahkan bakteria yang masuk ke dalam badan dan usus sebagai tindakbalas imun
untuk melindungi tubuh.

“Keadaan ini ditambah buruk apabila, pakar pediatrik atau doktor yang berkemungkinan akan memberikan anak antibiotik untuk rawatan penyakit berjangkit. Ini akan menyebabkan antibiotik
berkenaan turut membunuh bakteria di dalam usus,” katanya.

Pendedahan kepada pelbagai jenis bahan kimia, turut memberi kesan ke atas mikrobiota di dalam usus, antaranya seperti Bisphenol A (BPA) yang didapati dalam produk plastik dan pembungkus minuman.

“Sejak lahir, mikrobiota mula bekerja. Bagi memastikan ia terpelihara, kita perlu makan makanan berkhasiat mengandungi prebiotik dan probiotik untuk ‘menggembirakan’ bakteria ini.

“Prebiotik adalah makanan untuk ‘kawan kecil’ dalam usus kita atau bakteria ini. Prebiotik adalah makanan yang biasanya tinggi serat yang bertindak sebagai makanan untuk bakteria ini. Ia berperanan meningkatkan keseimbangan mikroorganisma ini,” katanya.

Probiotik adalah makanan tambahan mengandungi mikroorganisma hidup bagi mengekalkan atau meningkatkan bakteria baik ini di dalam usus.


PERANAN BAKTERIA BAIK
Manusia mempunyai lebih banyak sel bakteria di dalam tubuh berbanding sel manusia.

Prof. Jan Knol berkata, jika dilihat pada tahap genetik, lebih 99 peratus diri kita, terdiri daripada
bakteria.

Justeru, bakteria dalam usus memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan individu.

“Bakteria boleh melakukan banyak perkara seperti membantu menghadamkan makanan, menghasilkan vitamin di dalam usus, membantu menghadam makanan yang kita tidak boleh hadamkan sendiri seperti serat.

“Mesin atau bakteria ini bermula sejak kita dilahirkan lagi dan sejak kecil kita perlu membina mikrobiota ini di mana ia amat mencabar disebabkan beberapa faktor terutama penggunaan
antibiotik,” katanya.

Ujarnya, ketika dilahirkan, ‘mesin’ itu masih belum matang disebabkan ia tidak pernah berdepan dengan makanan dan bakteria lain.

Apa yang kita makan, akan melatih bakteria untuk melindungi kesihatan metabolik dan sistem imun.

“Bakteria ini akan belajar daripada bakteria lain yang memasuki sistem usus. Sama ada ia bakteria baik atau jahat, akhirnya usus mempunyai mikrobiota yang stabil untuk menyokong kesihatan kita.

 

KANAK-KANAK TERDEDAH
Kanak-kanak sedang membesar, terdedah kepada pelbagai risiko tinggi terhadap penyakit termasuk penyakit metabolik seperti diabetes, arthritis dan radang usus.

Jadi, amat penting, untuk melindungi mikrobiota di samping menentukan konsep nutrisi yang boleh menyokong dan merangsang pertumbuhan mikrobiota ini.

“Pelbagai kajian menunjukkan gabungan prebiotik dan probiotik boleh membantu meminimumkan kesan kesihatan dengan meningkatkan bifidobakteria usus dan mengekalkan persekitaran usus yang baik,” katanya.

 

HAMIL, DIET SEIMBANG
Mengenai kelahiran caesarean menyumbang kepada ketidakseimbangan bakteria dalam usus bayi, Dr. Shilpa berkata, pembedahan itu kadangkala diperlukan bagi menyelamatkan nyawa ibu dan anak.

“Pembedahan caesarian diperlukan, disebabkan bayi tidak dapat menahan tekanan di dalam rahim. Ini mungkin disebabkan bayi berkenaan ketika hampir dilahirkan tidak membesar dengan baik.

“Sama melahirkan secara pembedahan caesarean atau normal, atau pembedahan kerana kecemasan, nasihat saya kepada bakal ibu supaya menjaga kesihatan sepanjang kehamilan,” katanya.

Tegasnya, ibu hamil perlu mengamalkan diet seimbang bagi memastikan bakteria dalam usus mereka terpelihara, lantaran diet sihat bukan saja memberi manfaat kepada ibu tetapi bayi.

“Sebelum merancang untuk hamil, jaga kesihatan. Amalkan diet sihat iaitu makan semua makanan seperti daging, ikan, sayur dan buah-buahan segar. Elakkan makanan diproses kerana makanan proses tidak menyokong mikrobiota.

“Ada juga mencadangkan makan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan tetapi apa yang perlu diketahui, terdapat juga nutrient lain diperlukan tubuh seperti zat besi. Jadi sebaiknya makan diet
seimbang,” katanya.

Antara makanan yang baik untuk mikrobiota adalah makanan bertapai seperti tempe, soya, yogurt, kombuchea dan kimchi.

Buah-buahan berwarna seperti pisang dan kebanyakan sayursayuran mengandungi khasiat
baik untik mikrobiota.

Tambah Dr. Shilpa lagi, sekiranya ada masalah kesihatan, pastikan ia diatasi sebaiknya dengan memakan
ubat yang selamat untuk mikrobiota.

 

NORMAL ATAU BEDAH?
Dr. Ong berkata, kebanyakan ibu bapa tidak menyedari mengenai isu mikrobiota dan kaitannya dengan kelahiran pembedahan secara caesarean.

“Berdasarkan pengalaman saya, ramai ibubapa yang bertanya mengapa anak mereka sering mengalami
alahan seperti ruam kulit, demam dan selesema selain ada yang mengalami ekzema dan sebagainya

“Sebenarnya tiada pilihan betul atau salah dalam melahirkan anak. Kini, kita tahu kelahiran secara
pembedahan meningkatkan risiko penyakit tertentu dan ia perlu dikongsi untuk kesedaran orang ramai,” katanya.

Tambahnya, sekiranya perlu membuat pilihan sama ada ingin melahirkan secara pembedahan atau normal, maklumat ini penting, di mana ibu bapa perlu tahu, anak memerlukan diet khusus untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit tertentu.

Kesedaran ibu bapa dan masyarakat mengenai keperluan mengimbangkan bakteria di dalam usus penting kerana sekiranya ia dibiarkan, boleh menyebabkan penyakit metabolik seperti diabetes, serangan ke atas sistem ketahanan dan metabolisma.

Dr. Shilpa turut bersetuju mengenai tahap kesedaran yang rendah mengenai kaitan kaedah bersalin secara pembedahan dengan kekurangan mikrobiota.

“Selain ibu bapa dan masyarakat awam, tahap kesedaran mengenai perkara ini dalam kalangan pengamal perubatan seperti doktor juga masih rendah. Mereka bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara itu kepada ibubapa, sebelum membuat pilihan cara bersalin dan kesan ke atas kesihatan anak.

“Pembedahan caesarean membabitkan 25 peratus wanita tetapi didapati semakin
ramai wanita yang ingin memilih bagaimana untuk melahirkan kerana ingin memilih tarikh istimewa untuk anak dan sebagainya.

“Namun alasan memilih kelahiran secara pembedahan kerana ingin memilih tarikh tertentu atau sebab lain tidak sepatutnya digalakkan kerana tidak semua penbedahan caesarean berjaya. Wanita yang sihat sempurna, diet yang bagus, penyembuhan daripada pembedahan adalah lebih pantas,” katanya.

Namun bagi sesetengah wanita sangat sakit kerana mungkin disebabkan air ketuban pecah di awal
kehamilan dan ada yang memerlukan antibiotik untuk bayi sebelum beberapa minggu bersalin yang akan menjejaskan bakteria baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×