KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membayar sebanyak RM48 bilion hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga tahun lalu, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sebahagian pinjaman dilakukan kerajaan setiap tahun adalah untuk membayar hutang negara termasuk hutang 1MDB.
Sedangkan kata beliau, jumlah itu boleh digunakan untuk pembinaan sekolah, klinik dan pelarasan gaji penjawat awam.
“Kerajaan tiap-tiap tahun pinjam untuk bayar hutang dan pembangunan. Paling membebankan pinjam untuk bayar hutang.
“Sebab itu pengurusan ekonomi negara itu penting, jadi tidak boleh ada ketirisan dan rasuah.
“Berapa jumlah hutang kita bayar? Untuk 1MDB sehingga tahun lalu, RM48 bilion. Bayangkan kita boleh belanja RM48 bilion itu bayar bina sekolah, klinik, universiti termasuk penyelarasan gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan akan menyasarkan pengurangan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus pada tahun ini.
Katanya, kadar hutang telah melebihi tahap ditetapkan sekali gus menuntut kerajaan mengurangkan fiskal, namun tanpa membebankan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan komited untuk mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.
Kata beliau, kerajaan kini berjaya mengurangkan hutang secara berperingkat sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran negara.
Katanya, negara pada 2021 dan 2022 berhutang sebanyak RM100 bilion sebelum dikurangkan secara berperingkat pada 2023 pada RM93 bilion dan 2024 dikurangkan lagi kepada RM86 bilion.
“Daripada RM100 bilion pada pentadbiran lalu, kita kurangkan kepada RM86 bilion, tetapi ini tidak boleh dikurangkan secara mendadak kerana kita masih memerlukan agenda pembangunan.
“Pinjaman kerajaan perlu dikurangkan walaupun hutang masih membengkak. Sebab itu saya nyatakan turunkan pinjaman dengan 2023 pada RM93 bilion dan 2024 dikurangkan lagi kepada RM86 bilion,” katanya.
Perdana Menteri turut menjelaskan, hasil negara akan berkurangan manakala hutang bertambah sekiranya kerajaan tidak melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini belum ada kata putus mengenai penyasaran subsidi RON95 kerana kerajaan sedang memfokuskan rasionalisasi diesel terlebih dahulu.
“Belum ada lagi, tiada bangkit (pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95), belum ada deal (perbincangan). Perlu beri kefahaman, kalau ada masalah tentang diesel perlu beritahu.
“Kalau tidak buat (penyasaran subsidi RON95), hasil tidak bertambah, (maka) berhutang bertambah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menambah hasil negara antaranya mengurangkan pembaziran dan melakukan pinjaman apabila diperlukan.
Ditanya langkah untuk meningkatkan hasil kerajaan, Anwar berkata, beliau mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tegas terhadap mana-mana pihak yang enggan bayar cukai.
“Itu terserah (langkah tingkat hasil cukai) kepada LHDN, cuma saya nak siapa kena bayar, kena bayar.
“Kaya atau jutawan saya tidak peduli, mesti ada usaha tegas untuk pastikan dalam kalangan wajib harus bayar, tiada kebocoran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, semua pelajar Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang mengambil kira situasi rusuhan bertambah getir di negara berkenaan.
Kata beliau, Kementerian Luar akan mengadakan mesyuarat termasuk berhubung keperluan menyewa pesawat untuk membawa pulang pelajar terlibat.
Beliau berkata, kerajaan akan membantu semua pelajar tanpa mengira bantuan kerajaan atau tanggungan swasta. – UTUSAN










