KUALA KRAI: Seorang ibu tunggal terpaksa menggunakan wang sumbangan orang ramai yang dikumpul untuk menghantar anak lelakinya menyambung pengajian ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak di Terengganu.
Wan Zuraisah Wan Ibrahim, 49, berkata, sejak kematian suami tiga bulan lalu, dia hilang punca pendapatan sekali gus memberi kesukaran kepadanya untuk mendapatkan wang bagi membayar yuran pengajian sebanyak RM1,192.
Menurutnya, lebih memeritkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 atas nama arwah suaminya sudah ditamatkan.
“Sepanjang tempoh tiga bulan ini kami hanya mengharapkan wang simpanan dan sedekah saudara-mara serta jiran. Dapatlah saya meneruskan kelangsungan hidup buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bunut Payong, Telekong di sini, semalam.
Wan Zuraisah berkata, anaknya Che Adam Hilmi Che Noor Shan,18, akan menyambung pengajian peringkat Diploma Perakaunan.
Sebelum itu, Pengerusi Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Hussin serta badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce menyampaikan sumbangan wang tunai dan mesin pencetak hasil sumbangan orang ramai selain komputer riba yangdisumbangkan ahli perniagaan, Teacher Fiera.
Hadir sama, Pegawai MARA Daerah Kuala Krai, Syed Mohd Hafiz Syed Anuar bagi menyampaikan wang tunai RM1,000 bantuan skim dana ehsan pendidikan Yayasan Pelajaran MARA.
Sementara itu, Che Adam Hilmi berkata, dia memilih UniSZA kerana dekat dengan Kelantan serta ada saudara di Terengganu.
Katanya, dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 5A+, 2A, 1A- dan 1B+ itu menjadi inspirasi untuknya belajar bersungguh-sungguh di universiti nanti.
“Saya akan melaporkan diri 23 Julai ini, yuran pendaftaran masuk universiti itu ibu sudah bayar.
“Untuk makan minum di sana nanti saya akan manfaatkan sepenuhnya sumbangan wang yang diterima ini,” katanya. – UTUSAN










