Nelayan asing ‘cari makan’ pada musim tengkujuh

Nelayan asing ‘cari makan’ pada musim tengkujuh

Malaysia rugi RM823 juta akibat hasil laut dicuri oleh nelayan asing yang menceroboh perairan negara. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nelayan asing kerap kali dikesan ‘bermaharaja lela’ di perairan negara bagi mencuri hasil laut khususnya di Pantai Timur pada setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih malang lagi, bukan sahaja berani memunggah hasil laut negara sehingga 30 batu nautika dari pesisir pantai malah gerombolan itu turut menggunakan teknik pukat tunda ganding yang diharamkan oleh Malaysia.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassim Mohamed berkata, pencerobohan perairan melibatkan nelayan asing di Pantai Timur adalah kegiatan bermusim dan bukannya berlaku pada setiap masa.

Menurutnya, musim tengkujuh yang melanda negeri di Pantai Timur bermula sekitar November hingga Mac menjadi pilihan nelayan asing untuk menceroboh perairan negara bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan bagi mengelakkan daripada kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Mereka berani men­ceroboh masuk ke perairan kita kerana menggunakan kapal lebih besar yang mampu bertahan dalam keadaan laut bergelora.

“Pada masa sama, mereka ini akan menggunakan alasan untuk berlindung di pulau-pulau sekitar perairan Pantai Timur kononnya kerana cuaca buruk, sedangkan mereka sebenarnya melakukan aktiviti penangkapan ikan.

“Bagaimanapun, disebabkan ada perjanjian antara negara-negara jiran bahawa jika nelayan berlabuh untuk berlindung tindakan penguatkuasaan tidak boleh diambil terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas mengenai teknik penangkapan ikan nelayan asing, Mat Yassim berkata, biasanya tiga buah kapal digunakan dalam operasi mereka dengan satu daripadanya berfungsi sebagai pengumpul dan penghantar hasil laut diperoleh.

Katanya, kapal sama turut dijadikan pengangkut minyak diesel untuk membolehkan dua lagi kapal meneruskan operasinya di tengah laut.

“Dua lagi kapal akan melakukan aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan teknik tunda ganding yang telah diharamkan oleh negara sejak 1960-an lagi. Teknik ini mengakibatkan kemusnahan habitat batu karang, selain turut mengaut ikan baja atau yang masih kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN