PETALING JAYA : Lapan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah secara bulanan hampir RM12,000 daripada premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen ‘Ali Baba’ di ibu negara.
Penahanan kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dilakukan di sekitar ibu negara antara pukul 8.30 hingga 11 pagi semalam menerusi operasi khas Op Orange dijalankan SPRM Kuala Lumpur.
Satu sumber mendedahkan, kesemua penguat kuasa yang ditahan itu disyaki melindungi premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.
Kata sumber itu, wang rasuah yang diterima sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis-premis berkenaan yang bukan sahaja menggunakan lesen Ali Baba, sebaliknya kerana kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja,” katanya di sini semalam.
“Kegiatan ini dikesan menerusi risikan dijalankan SPRM sejak enam bulan lalu. Hasil tangkapan ini, wang tunai kira-kira RM40,000 turut disita,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok, bagi proses permohonan reman.
Pada 17 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, warga asing dikesan sanggup membayar wang rasuah antara RM200 hingga RM1,000 kepada penguat kuasa asalkan premis yang menggunakan ‘Lesen Ali Baba’ ini tidak diambil tindakan.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas kesemua mereka ditahan dalam operasi khas dijalankan SPRM Kuala Lumpur di sekitar ibu negara.
Operasi itu turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memeriksa premis terdiri kedai runcit, pakaian, kedai aksesori telefon, kedai makan dan gunting rambut.











