PETALING JAYA: Eksport negara dijangka meningkat tidak lama lagi susulan terdapat peningkatan ketara dalam import barangan pengantara dari Disember 2023 hingga Jun 2024, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, mereka mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 7.0 peratus, manakala 10.6 peratus bagi import pada tahun ini.
“Barang perantaraan ialah komponen penting yang digunakan dalam pembuatan produk akhir.
“Peningkatan dalam import ini menunjukkan pengilang Malaysia sedang meningkatkan pengeluaran, bersiap sedia memenuhi permintaan yang lebih tinggi untuk barangan siap di dalam dan di luar negara,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagaimanapun, TA Securities berkata, penting untuk berhati-hati dengan aktiviti kilang di China yang menguncup untuk bulan kedua berturut-turut pada bulan Jun, manakala sektor bukan perkilangan berkembang pada kadar yang lebih perlahan.
“Data daripada Biro Perangkaan Kebangsaan mendedahkan bahawa indeks pengutus pembelian rasmi (PMI) China untuk sektor pembuatan kekal pada 49.5 pada bulan Jun, tidak berubah dari Mel dan di bawah ambang 50 mata yang memisahkan pertumbuhan daripada penguncupan.
“Sub indeks pengeluaran turun sedikit kepada 50.6 pada Jun daripada 50.8 pada Mei, manakala pesanan baharu turun kepada 49.5 pada Jun daripada 49.6 pada Mei.
“Selain itu, ekonomi China menjadi perlahan pada suku kedua, apabila kemerosotan hartanah yang berlarutan dan pekerjaan membebani permintaan dalam negeri, mengekalkan jangkaan yang tinggi yang Beijing perlu mengeluarkan lebih banyak rangsangan.
“Ekonomi berkembang sebanyak 4.7 peratus pada suku kedua merupakan paling perlahan sejak suku pertama 2023. la juga turun daripada pengembangan 5.3 peratus pada suku sebelumnya,” jelasnya.
TA Securities akan terus memantau perkembangan di China kerana trend ekonominya biasanya berkait rapat dengan Malaysia.
“Bagaimanapun, hubung kait antara kedua-dua ekonomi tersebut hanya 17.9 peratus dan ini menunjukkan bahawa kemerosotan ekonomi China berkemungkinan kurang memberi kesan ketara kepada Malaysia
“Tetapi, memandangkan sebahagian besar produk eksport Malaysia memenuhi permintaan China, sebarang kelembapan ekonomi yang berpanjangan di China boleh menjejaskan sektor tertentu.
“Selain itu, pelaburan China memainkan peranan penting dalam pelbagai industri Malaysia dan penurunan dalam aliran pelaburan dari China mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi masa depan.
“Oleh itu, sementara korelasi keseluruhan kekal rendah, kesan khusus sektor memerlukan perhatian yang teliti,” katanya.-UTUSAN










