JERANTUT: Kira-kira 150,000 pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan tanaman kurang 10 hektar mahu kerajaan menyelaraskan harga komoditi itu berasaskan harga lebih RM4 sekilogram atau lebih mahal berbanding cadangan model konsolidasi bagi tujuan kapasiti serta pendapatan tetap.
Pengerusi Biro Kebajikan, Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim, 59, berkata, cadangan model konsolidasi membabitkan kebun getah bercantum sehingga mencapai keluasan 500 hektar hingga 1,000 hektar tidak relevan bagi kalangan pekebun kecil malah juga pengusaha yang lebih besar.
“Kita tidak menolak cadangan kerajaan yang prihatin dengan kebajikan dan pendapatan pekebun kecil, tetapi tidak sesuai melibatkan pekebun kecil di luar bandar dan pedalaman yang masih tertekan dengan harga yang tidak selaras di samping tempoh waktu bekerja dan faktor cuaca yang mengundang pendapatan tidak seberapa.
“Secara peribadi, saya berpandangan sekiranya wujud model konsolidasi atau penyatuan tersebut meragukan pemilik dan penoreh getah kerana kemungkinan nanti melibatkan kos pengurusan yang perlu dibayar di samping berdepan harga komoditi ini belum tentu ada kenaikan pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Tekam Utara di sini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilaporkan berkata, model konsolidasi tersebut dapat meningkatkan kapasiti, mengurangkan kos selain dipercayai mampu menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.
Anuar berkata, model konsolidasi dicadangkan itu seakan-akan seperti pengurusan Felda sebelum ini yang menguruskan ladang sawit dan getah sehingga peneroka perlu membayar kos pengurusan seperti baja dan racun rumpai.
Beliau berkata, rata-rata pekebun di negeri ini mempunyai kira-kira 20,000 hektar keluasan tanaman getah dengan usia pokok masing-masing antara 15 hingga 30 tahun.
“Kerajaan perlu mengkaji rata-rata penoreh getah di negara ini berusia lebih 50 tahun dan ada yang sudah lebih 70 tahun masih ‘menghadap’ pokok yang tua sudah tentulah tidak relevan untuk disatukan menerusi model tersebut.
“Kebanyakan pekebun mempunyai pokok usia lebih 20 tahun tidak berhasrat untuk meneruskan torehan sebaliknya menunggu masa untuk ditebang bagi mencongak untuk menggantikan tanaman lain. Itupun sekiranya mereka mampu berasaskan kudrat dan kewangan,” katanya.
Tambah Anuar, kerajaan juga perlu melihat semula peranan beberapa agensi yang ditubuhkan sejak pasca merdeka yang menguruskan berkaitan pengeluaran dan pasaran getah, tetapi pendapatan serta kebajikan pekebun kecil sejak dahulu lagi masih ditakuk lama berasaskan harga komoditi ini tidak menentu.
“Saya berpandangan harga getah yang stabil sepatutnya sudah berlaku dua dekad lalu selaras dengan kenaikan kos sara hidup penduduk (pekebun) perlu difikirkan kerana ini merupakan jaminan ‘periuk nasi’ pekebun kecil seluruh negara,” katanya.
Ujarnya, kerajaan nenerusi pihak berwajib perlu menyelaras harga getah yang boleh dinikmati sama rata pekebun dan penoreh selain mewujudkan lebih banyak pusat pengumpulan dan pembelian di kebanyakan tempat bagi mengelakkan orang tengah mengambil untung. – UTUSAN











