PM arah sektor kerajaan, swasta kibar Jalur Gemilang

PM arah sektor kerajaan, swasta kibar Jalur Gemilang

ANWAR Ibrahim mengibar Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua sektor kerajaan dan swasta, malah seluruh peringkat kumpulan masyarakat untuk me­ngibarkan Jalur Gemilang di setiap premis masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan 2024.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai tanda taat setia dan satu bentuk ‘pengorbanan’ rakyat pada zaman ini berbanding rakyat terdahulu untuk menghargai sebuah kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 67 tahun lalu.

Beliau berkata, seluruh ne­geri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu memastikan tidak ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang dan ia memberikan satu petanda baharu dalam menterjemahkan jiwa Merdeka rakyat Malaysia.

“Saya percaya kita bagi mesej jelas, apa yang sukar­nya (kibarkan Jalur Gemilang), orang dahulu korbankan segala-galanya, ibu-ibu di kampung keluarkan rantai dan perhiasan mereka untuk jadi tabung perjuangan. Pada tahun 1955 ada tabung untuk penerbangan pe­mimpin ke London dan pulang kerana kos terlalu tinggi, itu pengorbanan mereka.

“Dulu bagi cincin untuk perjuangan tetapi sekarang? Kena ingat jangan ada keterlanjuran kerana kita tak minta cincin atau jam, saya hanya minta kibarkan Jalur Gemilang.

“Kita kena pastikan kalau orang enggan (kibar Jalur Gemilang) kirim salam pada mereka, ini bukan isu kaum, parti, isu kedudukan atau pekerjaan, ini soal jati diri dan maruah harga diri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini semalam.

Tema sambutan Hari Kemer­dekaan pada tahun ini ialah ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 diadakan de­ngan tujuan utama untuk menyu­bur­kan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam ka­langan rakyat Malaysia me­nuju sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

Ia juga bertujuan menggelo­rakan sambutan Bulan Kebangsaan dalam lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama mahu pun fahaman politik berasaskan aspirasi Malaysia Madani menerusi inisiatif ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’.

Menurut Perdana Menteri, apabila satu negara mengibarkan Jalur Gemilang secara meluas termasuk di kota, desa, kedai, warung, gerai, sekolah-sekolah, masjid, kuil dan gereja dan setiap jabatan kerajaan, ia mempamerkan kemegahan rak­­yat dan negara.

Katanya, usaha itu tentunya masih ada ruang untuk dimulakan sekarang kerana masih ada tempoh sepanjang bulan ini sebelum acara sambutan kemerdekaan tanah Melayu pada 31 Ogos dan pembentukan Malaysia Bersama Sabah dan Sarawak pada 16 September.

“Ketua Setiausaha Negara akan memantau setiap jabatan dan Kementerian untuk kibarkan Jalur Gemilang, Komuniti Madani dan kerajaan negeri, pemimpin agama, masyarakat termasuk sektor swasta.

“Seringkali sektor swasta sumbangan besar tak boleh perkecilkan tetapi kadang-kadang mereka anggap ini remeh, kerja mereka berniaga catat keuntungan.

“Tetapi kalau negara tak aman, mereka (swasta) tak untung, kalau tidak ada pasukan keselamatan, tidak ada pelaburan baharu, jadi tunjukkan dukungan kamu untuk bersama rakyat dan negara. Kibarkan Jalur Gemilang, kita tak mahu sikap tolak ansur (perkara ini),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anak muda supaya mengerti makna sebenar kemerdekaan yang dicapai negara sejak sekian lama.

Katanya, ia kerana kemerdekaan yang dicapai dahulu dibayar dengan darah, air mata, keringat dan pengorbanan.

“Setiap generasi tidak dituntut sebegitu, sekarang tidak dituntut pengorbanan dengan darah, kita tugaskan kepada pasukan keselamatan, jauh di perbatasan, di lautan, di belantara di hutan tetapi tidak menyinggung kedudukan kita di kota, desa dan pedalaman

“Sebab itu Malaysia Madani ini adalah untuk mengisi kemerdekaan, apa erti kemerdekaan kalau jenis pimpinan yang kita pilih itu sama dengan penjajah, guna kuasa merompak kekayaan negara, diambil untuk mereka atau untuk negara mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN