KUALA TERENGGANU : Kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara pada tahun lalu mencatat sejarah apabila mencapai kadar tertinggi iaitu melebihi 97 peratus.
Ketua Pengarah Pendidikan, Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, kejayaan itu antaranya adalah didorong oleh kerjasama secara sinergi antara pihaknya bersama industri dalam menghasilkan graduan yang relevan dengan keperluan bidang kemahiran negara.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah mendapat kepercayaan hampir 19,000 pemain industri di seluruh negara melalui kolaborasi tersebut.
“Antaranya PKT Logistic, Maybank, Bank Rakyat, Petronas, Telekom Malaysia (TM) dan Samsung Malaysia Electronics yang sentiasa menyokong penuh sama ada dalam bentuk sumbangan, perkongsian idea, pandangan dan kepakaran.
“Sebagai contoh jalinan strategik ini ialah pembangunan 12 buah Centre of Technology (CoT) IEC (Industry Educational Centre) dengan bidang tujahan yang berbeza melibatkan kerjasama dengan pihak industri.
“Impaknya, hubungan kerjasama dan usahasama industri ini memberi persepsi positif kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta produk keluaran politeknik dan kolej komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, TVET bukan lagi pilihan kedua generasi muda malah kini menjadi laluan utama pendidikan tinggi negara.
“Ini dibuktikan melalui kesungguhan pihak kerajaan untuk merealisasi agenda TVET nasional setanding dengan negara maju yang lain seperti Jerman, Australia, Jepun, Korea, China dan Singapura.
“Komitmen tersebut dizahirkan dengan pelancaran Dasar TVET Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu.
“Dengan kekuatan 36 Politeknik dan 106 Kolej Komuniti serta tenaga kerja hampir 15,000 orang, kita akan memastikan institusi ini terus kekal sebagai peneraju unggul TVET negara,” katanya. – UTUSAN










