Pemandu lori sampah kejar gaji lumayan di Singapura?

Pemandu lori sampah kejar gaji lumayan di Singapura?

MD. ISRAK Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada ahli peladang yang berjaya menjual buah kelapa sawit kepada PPK Pekan Nanas, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Mengejar gaji lumayan dan jarak tempat pembua­ngan sampah yang jauh sehingga 200 kilometer pergi dan balik menyebabkan ramai pemandu lori SWM Environment di daerah ini ‘angkat kaki ’ dan bekerja di Singapura.

Dengan gaji minimum RM1,500 sebulan selain bayaran lebih masa serta elaun tertentu tidak mampu menyekat mereka berhijrah ke Singapura dengan menerima gaji SG$2,200 atau kira-kira RM7,000 sebulan.

Ketua Whip, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Md. Israk Abdullah berkata, tempat pembuangan sampah di Kota Tinggi adalah sementara bagi menunggu lokasi pembuangan sampah di Pekan Nanas siap dan langkah tersebut tidak dapat dielakkan kerana sebelum ini sampah dari Pontian dihantar ke Seelong, Senai tetapi kini kawasan tersebut tidak lagi me­nerima sampah.

“Jika benar mereka (pemandu) yang ‘lari’ ke Singapura kerana mengejar gaji lumayan, isu tersebut bukan sahaja pemandu lori sampah malah pemandu lori lain mengambil tindakan sedemikian.Harap pihak SWM dapat memastikan pekerja yang telah berhenti diganti segera bagi memastikan kerja-kerja mengutip sampah tidak terjejas,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK ) Pekan Nanas, di sini semalam.

Turut bersama dalam mesyua­rat tersebut Pegawai Peladang Daerah Pontian/Kluang, Maisra Kamil; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Pekan Nanas, Kasbon Kasron dan Pengerusi Peladang Nita Negeri Johor, Zarina Mohammad Bain.

Md. Israk berkata, setakat ini kutipan sampah di kawasan pentadbiran MPPn masih berjalan lancar walaupun ada berlaku sedikit kelewatan dan gangguan termasuk akibat kerosakan lori.

“Jika ada masalah dari segi jadual pungutan sampah, SWM perlu mengambil tindakan segera supaya tiada berlaku pungutan sampah yang tertangguh di kawasan bercukai MPPn,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SWM Environment Johor ketika dihubungi berkata, semakan pihaknya mendapati tiada sebarang isu berbangkit tentang tenaga kerja di daerah Pontian ketika ini.

“Kami mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan akan berusaha bagi memastikan tidak berlaku pemberhentian pemandu lori beramai-ramai sebagaimana yang dilaporkan itu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×