BERUAS: “Kami akan terus cari ayah sehingga ditemukan walaupun hanya jasadnya.”
Itu kata Raziah Yahya, 29, anak kepada Yahya Harun, 56, lelaki yang hilang bersama rakannya, Azman Mat Jaab, 61, di hutan paya bakau Sungai Tuntung, Pantai Remis sejak 18 Jun lalu.
Katanya, walaupun sudah lebih sebulan bapa dan rakannya itu hilang, adik-beradiknya tidak berputus asa mencari malah sehingga kini masih meneruskan usaha itu.
Katanya, usaha mencari juga masih diteruskan oleh saudara-mara, penduduk kampung dan rakan-rakan bapa mereka.
“Kami tetap terus mencari bapa dan rakannya walau apa pun terjadi, selagi jasad ayah dan rakannya tidak dijumpai, selagi itu kami tidak tenteram.
“Sudah lebih sebulan mereka hilang, kami reda apa pun terjadi asalkan jasad ayah dapat dijumpai dan dibawa balik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Panchor, di sini semalam.
Dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu usaha pencarian tetapi menasihatkan mereka supaya berhati-hati dengan tidak menolak unsur mistik di sebalik kehilangan bapa mereka dan rakannya.
“Ada beberapa pengamal perubatan tradisional yang mendakwa mengalami rasa pelik semasa mencari mangsa. Mereka kata rasa seperti ditendang dan bermacam-macam lagi.
“Kami tidak menolak alam ghaib namun usaha pencarian tetap diteruskan,” katanya.
Dalam kejadian 18 Jun lalu, Yahya bersama Azman turun ke hutan paya bakau Sungai Tuntung, Pantai Remis dan sejak itu mereka tidak pulang.
Pencarian awal mendapati, kedua-dua motosikal milik mangsa masih berada di kawasan berkenaan. – UTUSAN











