WALAUPUN jarak yang agak jauh dan mungkin menyukarkan pembeli dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor berulang-alik setiap hari, namun trend mula menunjukkan kecenderungan permintaan yang tinggi untuk hartanah di luar Lembah Klang.
Trend ini mencerminkan keinginan masyarakat di Lembah Klang untuk mendapatkan persekitaran hidup yang lebih luas dan lebih berpatutan berbanding dengan pusat bandar.
Lebih menarik, terdapat permintaan yang ketara untuk hartanah berhampiran pengangkutan awam, lebuh raya utama dan projek kereta api yang akan datang.
Ini ditambah pula dengan ketersediaan pilihan pengangkutan awam seperti perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) di kawasan seperti Seremban, Negeri Sembilan dan Ipoh, Perak secara signifikan meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Zain Mat Taha berkata, pihaknya melihat peningkatan bilangan penumpang di luar Lembah Klang sebagai satu kejayaan proses urbanisasi kawasan luar bandar.
“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, kesemua laluan yang melalui kawasan di luar Lembah Klang menunjukkan peningkatan bilangan penumpang perkhidmatan KTM Komuter kecuali bagi sektor Kajang sehingga Tampin.
“Sektor Rawang hingga Tanjung Malim dan sektor Ipoh mencatatkan peningkatan bilangan penumpang masing masing sebanyak 24 peratus dengan purata 65,000 penumpang dan 81,000 penumpang.
“Selain itu, bagi sektor Bukit Mertajam hingga Butterworth meningkat 13 peratus dengan purata bulanan sebanyak 112,000 penumpang manakala sektor Padang Besar naik 14 peratus dengan purata bulanan sebanyak 251,000 penumpang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, beberapa faktor penting menyumbang iaitu kemampuan pengguna untuk mengakses pengangkutan awam dari titik permulaan perjalanan mereka ke stesen pengangkutan awam dan dari stesen ke destinasi akhir mereka.
“Ketersambungan ini disokong oleh pertumbuhan mampan perkhidmatan e-panggilan, yang memudahkan pergerakan pengguna dari rumah mereka ke stesen dan sebaliknya. Selain itu, jadual kereta api yang lebih fleksibel dan selaras dengan keperluan pengguna juga memainkan peranan penting.
“Tidak ketinggalan, inovasi digital seperti aplikasi yang dimuat naik dengan ciri-ciri kemas kini secara langsung berperanan sebagai perancang perjalanan ternyata mampu membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih efisien dan selesa,” katanya.
Menurut Mohd. Zain, tambang kereta api juga sangat kompetitif dan tidak membebankan, contohnya, tambang sehala penumpang dewasa dari Seremban ke Kuala Lumpur ialah RM8.80 berbanding dengan RM10 sehala dengan menggunakan perkhidmatan bas.
“Tambang konsesi juga diberikan kepada warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah bagi mengurangkan beban kos pengangkutan seharian,” katanya.
Sementara itu, pembeli rumah di luar Lembah Klang, Faradieana Karim, 38, berkata, kos sara hidup lebih rendah, berdekatan dengan keluarga, lebih selesa serta mempunyai banyak kemudahan antara faktor dia memilih untuk tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.
Dia yang bertugas di Kuala Lumpur itu memberitahu, terdapat pengangkutan awam yang tersedia untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
“Saya menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Jarak dari tempat kerja ke rumah agak jauh iaitu 74 Kilometer (km) namun, saya sudah selesa memiih tinggal di luar Lembah Klang,” katanya.-UTUSAN










