TAMPIN: Tempoh reman ke atas seorang bapa yang disyaki merogol anak gadisnya sendiri sehingga mangsa melahirkan anak di daerah ini, disambung tiga hari lagi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, suspek berusia lingkungan 52 tahun itu telah ditahan 14 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.
Menurutnya, reman disambung sehingga hari Selasa ini bagi melengkapkan siasatan dan mangsa serta anaknya pula kini di bawah jagaan ibu saudaranya dengan perintah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebelum ini, media melaporkan seorang bapa di Gemencheh di sini tergamak merogol anaknya sehingga mangsa melahirkan bayi perempuan yang kini berusia empat tahun.
Perkara itu terbongkar apabila ibu saudara mangsa nekad membuat laporan polis dan suspek ditangkap pada hari yang sama laporan dibuat.
Ujar Amiruddien lagi, siasatan awal mendapati kejadian rogol itu telah berlaku sejak tahun 2019 semasa mangsa iaitu anak perempuannya berusia 20 tahun sehingga kejadian terakhir berlaku bulan ini.
Menurutnya, mangsa tidak mahu membuat laporan polis kerana takut serta bimbang terjadi apa-apa terhadap dirinya.-UTUSAN.










