LOS ANGELES: Jenama pakaian sukan gergasi, Adidas, menarik semula keputusan melantik model, Bella Hadid, sebagai wajah kempen kasut SL72 mereka.
Tindakan itu diambil selepas Adidas menerima teguran kedutaan Israel di laman sosial yang mempertikaikan keputusan jenama tersebut melantik model pro-Palestin untuk kasut retro Olimpik Munich 1972 berkenaan.
“Kami sedar bahawa kasut ini mempunyai kaitan dengan sejarah yang tragis. Walaupun pelantikan Bella sebagai model bukanlah perkara yang disengajakan, kami memohon maaf jika ada pihak yang kecewa dan terguris dengan perkara ini,” tulis Adidas dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.
Untuk rekod, kasut SL72 pertama kali dilancarkan pada 1972 yang mana terdapat sebuah insiden 11 orang atlet Israel dibunuh oleh lelaki bersenjata Black September asal Palestin.
Kejadian itu berpunca daripada tindakan lelaki berkenaan menceroboh perkampungan Olimpik dan menjadikan mereka sebagai tebusan.
Pelantikan Bella Hadid, yang juga merupakan model yang lantang menyuarakan hak rakyat Palestin menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Israel.
Bella merupakan antara lima selebriti, model dan atlet yang dilantik menjadi wajah kempen bagi kasut retro klasik SL72.
Adidas bagaimanapun memaklumkan kempen itu akan diteruskan dengan menggunakan wajah duta lain seperti pemain bola sepak Jules Kounde, penyanyi Melissa Bon dan model Sabrina Lan.
Bagaimanapun, Bella dikatakan telah mengupah peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap jenama tersebut kerana telah merosakkan imejnya melalui kempen berkenaan.











